BINDI merupakan perhiasan yang sangat penting bagi penganut agama Hindu, yakni dengan meletakkan tanda pada dahi di antara kedua bulu kening dan ia juga disebut sebagai Tika, Pottu, Sindoor, Tilak, Tilakam dan Kumkum dengan saiz kecil atau besar yang berbentuk bulat.
Bindi dihiasi pada dahi yang diambil daripada perkataan Sanskrit iaitu"Bindu” membawa maksud sebagai mistik mata ketiga bagi seseorang.
Perlu difahami Islam amat menitikberatkan umatnya agar menjaga batasan syariat supaya tidak melakukan perkara yang melampaui batasan agama seperti melakukan perbuatan syirik terhadap ALLAH SWT dan seumpamanya.
Walaupun perkara ini telah lama dibincangkan oleh para agamawan namun ia masih juga menjadi tanda tanya kepada mereka yang masih ragu-ragu akan hukum sebenar memakai bindi atau tikka di dahi terutama bagi orang Islam.
Berkongsi pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan hukumnya adalah haram.
Ujarnya, perkara yang perlu diambil perhatian dalam pemakaian adalah sama ada ia merupakan kegunaan bagi syiar atau simbol dalam agama atau sekadar adat dan budayanya sahaja.
"Hal ini kerana Baginda Nabi SAW melarang menyerupai golongan kafir di dalam hal syiar atau identiti agama mereka.
"Hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bahkan, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.
Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara. Antaranya:
Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh;
Akan tetapi, jika sekiranya pemakaian tradisional itu tidak mempunyai unsur keagamaan seperti pakaian yang bercirikan budaya dan adat setempat maka ia adalah harus.
Ini kerana Baginda SAW pernah memakai jubah daripada Rom seperti yang diriwayatkan oleh Mughirah bin Syu’bah RA bahawa bapanya katanya"Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang kedua tangan bajunya sempit.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Memakai sari
Apabila berbicara mengenai hukum memakai bindi di dahi, ia juga sinonim dengan pemakain sari kerana keduanya merupakan adat bagi agama Hindu. Dalam soal ini, adakah sari jugak tidak dibenarkan oleh Islam.
Merujuk Pejabat Mufti Wilayah di laman sesawang, Islam tidak melarang umatnya untuk memakai pakaian tradisional bangsa lain selagi mana pakaian tersebut bukan pakaian ritual agama dan rasminya.
"Namun etika pemakaian di dalam Islam wajib dipatuhi seperti menutup aurat, tidak nampak bentuk tubuh badan serta tidak mendatangkan fitnah.
"Islam juga melarang umatnya agar tidak berlebih-lebihan dalam perhiasan dan juga pemakaian serta boleh menimbulkan perasaan sombong dan angkuh di dalam diri.
"Ini bertepatan dengan kaedah"Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya,” kongsi laman berkenaan.