ALOR GAJAH - Tindakan pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sebang, di sini, yang menyediakan menu berbaloi dengan harga RM2 sepinggan bagi murid-murid sekolah wajar dicontohi pihak lain.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Azri Khairi Juaher berkata, menu nasi lemak ayam goreng berserta timun, sambal dan telur dadar itu dapat membantu murid-murid terutama keluarga B40 menikmati makanan dalam kuantiti banyak dengan harga hanya RM2 sepinggan.
Menurutnya, meskipun mereka terbeban dengan kenaikan harga barang asas seperti beras, namun ia bukanlah halangan untuk pengusaha itu memberi kegembiraan kepada murid-murid menerusi kuantiti makanan yang banyak.
"Ini bukanlah menu yang baharu disediakan, namun sepanjang lima tahun pengusaha kantin itu beroperasi di sekolah ini, boleh dikatakan dia berniaga sambil bersedekah.
"Selain itu pengusaha juga sering kali memberikan sumbangan dan sokongan terhadap setiap pembangunan sekolah," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Terdahulu tular gambar di media yang memaparkan beberapa pinggan nasi lemak ayam yang dipenuhi nasi dijual di kantin sekolah itu dengan harga RM2.
Sementara itu, pengusaha kantin yang tidak mahu dikenali turut mengakui masih mendapat keuntungan RM1 dengan menjual menu berharga RM2 itu.
"Kos sepinggan RM1, jadi saya masih ada untung RM1. Cukuplah nak untung banyak mana lagi.
"Kita kena pandai dan kreatif menyediakan menu supaya murid-murid tak bosan menu sama setiap hari," katanya.