PELUMBA Bolton Equities Black Spoke, George Jackson menampilkan kayuhan memukau apabila menjuarai Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah sebentar tadi.
Pada perlumbaan yang dianggap penuh mencabar sejauh 183.1 kilometer (km) dengan dua zon pecutan dan empat zon pendakian itu, Jackson merekodkan catatan masa 4 jam 14 minit dan 13 saat (s).
Jackson yang membuat penampilan sulung di pentas LTdL, meninggalkan dua pencabar terdekatnya - Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane) dan Carlos Canal Blanco (Euskaltel-Euskadi).
"Saya berasa agak terkejut apabila dapat meraih kemenangan di sini (Malaysia). Ini kerana baru sahaja bersaing pada Tour Taihu (Lake).
"Saya harus berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan. Mereka bekerja keras sepanjang perlumbaan hari ini sehingga membolehkan saya muncul juara,” kata Jackson.
Bagaimanapun, Zanoncello masih boleh mendabik dada apabila dia kini menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan masa 12:55:05s.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang menyarung Jersi Hijau dalam dua peringkat sebelum ini, hanya mampu mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut apabila mengumpul 27 mata.
Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang sebelum ini menyambar Jersi Polka Dot (Raja Bukit) menerusi Muhammad Nur Aiman Zariff dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki pula terpaksa akur melepaskan jersi tersebut.
Pelumba Tudor Cycling Team, Simon Pelaud kini menjadi pemilik baharu Jersi Polka Dot apabila mengumpul keseluruhan 20 mata.
Di sebalik kegagalan TSG mempertahankan Jersi Polka Dot, pasukan kebangsaan Malaysia masih mampu menghadirkan keceriaan buat peminat sukan berbasikal tempatan.
Selepas terlepas peluang menjejakkan kaki di podium dalam dua peringkat sebelum ini, Muhammad Nur Aiman Rosli mencipta sensasi apabila menyambar Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia.
Nur Aiman yang tampil kali pertama menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia merampas jersi tersebut daripada pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan dari Mongolia.