ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menembusi kekuatan UMNO yang didakwa sinonim dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, biarpun PN sebelum ini gagal menembusi benteng Johor pada pilihan raya kecil (PRK) lalu, tidak mustahil situasi berbeza akan berlaku di Pelangai.
Menurutnya, PN berkeyakinan akan mencetus kejutan sama ada mampu meranapkan benteng UMNO di Pelangai mahupun dapat mengurangkan kekuatan parti itu di DUN terbabit.
"Benteng Johor PN gagal tembusi sebab di Johor itu tebal namun sudah semakin nipis ketebalannya. DUN Pelangai pun taklah nipis sangat tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk menang,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Isnin.
Muhammad Sanusi berkata, walaupun Pelangai dikenali sebagai kubu kuat UMNO, namun PN tidak akan membiarkan ia terus menjadi kubu kuat parti itu.
"Ya, betul ia kubu kuat UMNO, tak ada parti lain menang di situ. Sebelum ini kerusi berkenaan dimenangi Menteri Besar Pahang sebelum ini, Tan Sri Adnan Yaakob sebelum Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Namun saya optimis, saya rasa tak mustahil PN mampu (buat kejutan),” ujarnya.
Menurutnya lagi, keyakinan itu berlandaskan kepada gelombang PN yang berlaku di seluruh negara menjelang PRU15 dan PRN di enam negeri sebelum ini.
"Gelombang kepada kebangkitan PN itu akan melanda Pelangai. Gelombang itu masih belum surut, malah makin meningkat sekarang. Semakin hari semakin meningkat.
"Itu keyakinan seorang ahli politik dan Pengarah Pilihan Raya, saya mesti ada keyakinan sebegitu untuk jadi pencetus semangat kepada anak buah yang bekerja untuk memenangkan DUN Pelangai,” jelasnya.
Menurutnya, PN tidak akan menyerah dengan mudah dan akan tetap memberikan saingan sengit namun menyerahkan kepada pengundi untuk melakukan perubahan itu.
Pada PRK DUN Pelangai 7 Oktober ini, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong akan berdepan dengan calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan penyandang DUN berkenaan yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina, Selangor pada 17 Ogos lepas.