SEHARI selepas skuad hoki lelaki negara membelasah Thailand 9-0, giliran pasukan wanita pula mempamerkan taring apabila membenam Hong Kong 8-0 pada aksi pembukaan saingan Kumpulan A Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park pada Isnin.
Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang diberi julukan 'Malaysian Tigress' itu, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-10 untuk membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Fatin Shafika Mahd Sukri.
Kapten pasukan Nuraini Abdul Rashid menggandakan kedudukan selepas tenang menyudahkan pukulan penalti pada minit ke-20, sebelum jaringan pukulan sudut penalti Hanis Nadiah Onn seminit kemudian membolehkan Malaysia selesa mendahului 3-0.
Malaysia terus menekan Hong Kong selepas menambah dua gol pada suku ketiga menerusi Siti Zulaikha Husain pada minit ke-38 dan jaringan pukulan sudut penalti Fatin Shafika pada minit ke-40.
Memasuki suku terakhir, pasukan negara menoktahkan perlawanan dengan bergaya apabila menambah tiga lagi gol yang dijaringkan Nur Insyirah Effarizal pada minit ke-56, diikuti Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Wan Norfaiezah Md. Saiuti masing-masing pada minit ke-60.
Bercakap kepada pemberita selepas aksi itu, Nuraini berkata, kejayaan hari ini sesuatu yang amat diperlukan pasukan sebelum menempuh cabaran lebih hebat dalam perlawanan berikutnya menentang pemenang pingat perak edisi lepas, India.
"Untuk kombinasi hari ini dengan penglibatan pemain muda boleh dikatakan okey, tetapi sebenarnya boleh buat lebih baik.
"Mungkin (pasukan) ada sedikit perasaan gugup kerana 80 peratus dalam pasukan adalah pemain yang pertama kali ke Sukan Asia. Kami yang senior memberi peluang untuk mereka dapat keyakinan hari ini. Saya berharap untuk perlawanan akan datang kami akan lebih baik," katanya.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mendapati banyak kesilapan teknikal yang dilakukan pemainnya.
"Hari ini banyak kesilapan teknikal dari segi hantaran, tampanan, dan penerimaan ada kesalahan, jadi perlu diperbetulkan sebelum bertemu India... dari segi kawalan juga nampak agak biasa, bertemu India kita harus lebih berdisiplin dari semua sudut," katanya.
Malaysia akan membuat perhitungan dengan India di venue sama, Jumaat ini. - Bernama