RUU Sumber Air: Pembangkang saran Perak contohi Kedah, Terengganu

Iklan
Razman (duduk, tengah) bersama wakil rakyat pembangkang DUN Perak dalam sidang akhbar pada Isnin.

IPOH - Pembangkang menyarankan agar Perak mencontohi Enakmen Sumber Air Kedah dan Terengganu dalam isu pengecualian lesen dan caj terhadap aktiviti pengairan sawah dan bekalan makanan.

Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berkata, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air yang dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin, perkara itu tidak dimasukkan dengan jelas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah enakmen sama, Kedah menetapkan bahawa pemilik tanah bagi tujuan pengairan padi terkecuali daripada peruntukan manakala di Terengganu, diperuntukkan segala aktiviti saliran dan pertanian tidak perlu dilesenkan.

"Masukkan dengan jelas dalam perlembagaan sepertimana di Kedah dan Terengganu yang membuat pengecualian itu dalam enakmen," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Iklan

RUU Sumber Air Perak 2023 telah dibaca kali kedua dalam Persidangan DUN pada Isnin oleh Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ketika pembentangan RUU tersebut, Mohammad Nizar menyebut, Bahagian 5 di bawah perkara Penggunaan Sumber Air dan Pelesenan mengandungi peruntukan-peruntukan berhubung perkara penggunaan sumber air dan pelesenan antaranya hak untuk menggunakan air tanpa lesen atau bayaran caj bagi maksud sara diri iaitu bagi penggunaan isi rumah (tidak melebihi 2,500 liter sehari bagi setiap seorang).

Iklan

Turut disebut, bagi pertanian sara diri (tidak melebihi 15,000 liter sehari bagi setiap seorang) di bawah fasal 45, keperluan pemasangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pengendalian sukatan air di bawah fasal 46 dan, kuasa PBN untuk menetapkan caj, bayaran atau sumbangan bagi penggunaan sumber air di bawah fasal 47.

Mengulas lanjut, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, dalam RUU tersebut dinyatakan bayaran caj bagi maksud pertanian sara diri dikecualikan kepada yang tidak melebihi daripada 15,000 liter air bagi setiap seorang.

Sedangkan katanya, penggunaan air sawah ketika ini didapati melebihi 15,000 litter sehari.

"Ini bererti berlaku pertambahan kos kepada pesawah sedangkan sekarang ini kos yang ada tidak tertanggung.

"Kenaikan kos ini sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan harga beras. Jadi kita mohon kerajaan memberikan perhatian kepada perkara ini," katanya.

Seramai 20 ADUN termasuk 10 wakil pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Sumber Air Perak 2023 yang dijadualkan selama dua hari pada Isnin dan Selasa.

Pada 19 Julai tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mencadangkan usul penangguhan kelulusan itu dan memaklumkan sebuah jawatankuasa bipartisan ditubuhkan bagi membolehkan RUU diperhalusi dan ditambah baik sebelum dibawa semula ke persidangan untuk kelulusan.

Enakmen itu antara lain bertujuan memastikan aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang membabitkan sumber air negeri dapat dipantau selain pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air melalui penubuhan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak.