Bayi perempuan dijumpai di belakang rumah belum siap

Iklan
Ramli menunjukkan gambar bayi perempuan yang dijumpai di Kampung Pasir Tuntong, Kuala Selangor pada awal pagi Isnin.

KUALA SELANGOR - Bunyi tangisan kuat membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan di belakang sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Pasir Tuntong di sini pada awal pagi Isnin.

Jiran yang mendengar suara tangisan itu terkejut apabila menemui bayi masih bertali pusat kira-kira jam 1.40 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam tentang penemuan bayi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bayi itu dalam keadaan bogel dan masih bernyawa di lantai simen rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini pada Isnin.

Iklan

Katanya, rumah kampung itu dalam proses pembinaan dan bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi pemeriksaan lanjut.

"Siasatan awal mendapati bayi itu baru saja dilahirkan sebelum ditinggalkan di rumah berkenaan," jelas beliau.

Iklan

Ujar beliau, bangsa bayi itu belum dikenal pasti dan polis sedang mengesan individu yang terlibat bagi membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana sengaja membuang mana-mana bayi atau meninggalkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ikhwan Mohd. Zuki di talian 019-9699015 atau balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, pihaknya memberkas seorang lelaki warga emas yang didapati menyamun sebuah kedai emas di pekan Tanjong Karang di sini pada 15 September lalu.

Jelas Ramli, suspek berusia 63 tahun itu dikatakan berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan rantai emas bernilai RM12,000 pada jam 10.40 pagi.

"Lelaki itu kemudian berjaya ditahan di rumah sewanya di Banting keesokan hari berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.