SEREMBAN - Selepas tiga tahun, Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd sekali lagi kembali mengadakan Hino Smart Driving Contest di Hino Total Support Customer Centre (HTSCC), Sendayan di sini.
Pertandingan ini adalah sebahagian daripada usaha Hino Malaysia mempromosi program Hino Smart Driving yang menghimpunkan 20 pemandu lori daripada 11 syarikat berbeza dan telah melalui pusingan awal pertandingan pada bulan Ogos lepas.
Program ini bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran mereka dan memupuk semangat setiakawan dalam bidang yang sama profesion, dengan tema"Challenge to Be the Best Driver to Transport Every Happiness for A Sustainable Future”.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam dalam ucapannya berkata, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan separuh jumlah kematian jalan raya menjelang tahun 2030, seperti yang digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya 2022-2030.
Menurutnya, program latihan pemanduan seperti yang ditawarkan oleh Hino Total Support ini, memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat tersebut.
"Melalui kemahiran yang dipertingkatkan dan kesedaran ini, kami berharap pemandu memahami serta mula mengamalkan pemanduan yang lebih selamat untuk melindungi diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika hadir merasmikan majlis berkenaan bersama Pengarah Urusan Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd, Atsushi Uchiyama.
Peserta pertandingan telah melalui beberapa siri cabaran dan program yang menarik terdiri daripada ujian amali yang matlamat utamanya menilai dan meningkatkan kemahiran pemanduan trak, terutamanya mereka yang mengendalikan trak Hino.
Pengarah Urusan Hino Malaysia, Atsushi Uchiyama berkata, program tersebut bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian pemandu sekali gus meningkatkan reputasi syarikat mereka.
"Ini adalah peluang yang luar biasa untuk pemandu mempamerkan kemahiran mereka dan bermotivasi untuk berusaha mencapai kecemerlangan. Ia bukan sahaja mengenai pemanduan tetapi juga meningkatkan imej syarikat.
"Melalui pertandingan ini, kami berhasrat untuk meningkatkan imej jenama kami dan meningkatkan produktiviti untuk pelanggan kami. Kami mahu mereka berbangga menjadi pelanggan dan pemandu Hino yang dihargai," katanya.
Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM22,000 itu turut diberikan kepada semua kategori dengan juara keseluruhan menerima trofi dan insentif tunai sebanyak RM5,000.
Selain itu, syarikat yang muncul juara akan menerima baucar perkhidmatan dan alat ganti bernilai RM5,000 dan piala.