MAULIDUR Rasul adalah hari yang penting buat umat Islam bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi.
Tanggal 12 Rabiulawal ini juga merupakan tarikh yang penuh dengan kemuliaan dan rahmat terbesar bagi seluruh alam dan makhluk, kerana telah lahirnya seorang kekasih ALLAH SWT yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan jahiliyah.
Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.
Selain diadakan perarakan yang diiringi dengan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW, program yang lazim diadakan adalah majlis ilmu, forum perdana, dan pengisian yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW.
Tahun ini bersamaan dengan 1445H, Maulidur Rasul akan disambut pada hari Khamis, 28 Oktober 2023 menurut tarikh penting kalendar Islam 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dengan tema yang dipilih pada sambutan kali ini iaitu ”Perpaduan Teras Malaysia Madani”.
Sempena bulan Rabiulawal ini, sebagai Muslim kita haruslah sentiasa memperbanyakkan amalan-amalan sunah sebagai bukti sayang dan cinta kepada Baginda SAW.
Memetik perkongsian pendakwah bebas, Ustazah Asmak Hussin di laman Facebooknya, terdapat empat cara atau amalan yang boleh dilakukan sempena menyambut Maulidur Rasul ini.
1)Memperbanyakkan membaca al-Quran kerana ia merupakan mukjizat terbesar Rasulullah SAW.
2)Memperbanyakkan selawat
Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada Baginda.
Lantas Baginda menjawab"Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Inilah antara kaifiat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat kepada Baginda.
3)Mendalami sirah Nabi bersama ahli keluarga
Ibu bapa wajib mengajarkan kepada anak-anak tentang kisah perjuangan, cabaran dan kejayaan Rasulullah dan para sahabat agar anak-anak terus bersemangat untuk mewarisi perjuangan Baginda.
4)Mewarisi dan menyambung perjuangan Rasulullah
Sunah terbesar yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah mendirikan negara Islam. Oleh itu, kita mesti bertekad dan bersungguh-sungguh menyambung kerja dakwah Rasulullah agar Islam terus kuat dan kukuh.