KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemeriksaan ke atas 17,241 kenderaan menerusi Op Khas Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula Rabu hingga Ahad.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah tersebut, pemeriksaan ke atas lori adalah 5,897 buah, bas (652) dan lain-lain (10,692).
Beliau berkata, operasi khas lima hari itu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar nahas jalan raya terutama melibatkan kemalangan maut.
Kata beliau, selain memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas sedia ada, ia juga diharap dapat menjadikan lalu lintas terkawal serta diselaraskan dengan efektif.
"Sebanyak enam tangkapan telah dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, satu tangkapan untuk Kanun Keseksaan serta sebanyak 27 tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Selain itu, sebanyak 35 kenderaan telah disita dalam operasi khas ini," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, bagi jumlah saman dikeluarkan semasa operasi khas tersebut, sebanyak 2,724 buah lori dikenakan saman, bas (109) serta lain-lain kenderaan (629).
Bagi operasi timbang berat, katanya, sebanyak 35 buah telah melalui proses tersebut dan tiga daripadanya disita kerana pelbagai kesalahan.
Tambahnya, operasi khas itu juga memberi tumpuan ke atas pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, selain kenderaan membawa muatan lebih atau kesalahan lain yang menyumbang kepada keadaan fizikal kenderaan berat.
Menurutnya, operasi pada minggu lalu itu melibatkan sebanyak 2,613 kekuatan keseluruhan pegawai kanan polis dan anggota.
Selain itu katanya, ops khas tersebut mendapat kerjasama serta kolaborasi daripada agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).