Adik cari abang kandung hilang lebih lima tahun lalu

Iklan
Kamarudin menunjukkan gambar Rosli.

KUALA PILAH - Seorang lelaki meminta bantuan orang ramai mencari abang kandungnya yang menghilangkan diri lebih lima tahun lalu.

Kamarudin Mansor, 58, dari Kampung Ulu Inas,Johol di sini berkata, kali terakhir bertemu Rosli Mansor, 61, abang sulung daripada tujuh beradik itu pada tahun 2016 sebelum berjaya mendapatkan alamat dan status abangnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kira-kira empat bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Alamat terakhirnya di Sungai Bertik, Klang, Selangor dan saya ke sana tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.

"Bagaimanapun, kakak ipar memberitahu dia sudah bercerai dengan abang pada tahun 2019, namun dua tahun sebelum itu, abang sudah pun keluar dari rumah mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Kamarudin meminta bantuan orang ramai mengesan Rosli.

Iklan

Ujarnya, mereka kini tinggal empat beradik termasuk Rosli dan diharap segera pulang susulan bimbang akan keselamatan dan kesihatan abangnya itu.

"Sebelum ini abang bekerja di Pelabuhan Klang dan kebiasaannya berhubung menggunakan nombor telefon rakan-rakannya yang lain. Kami tidak mengetahui mengapa abang tidak mahu memaklumkan keberadaannya.

Iklan

"Kalau abang ada masalah apa sekalipun pulanglah, kalau tiada tempat tinggal,di kampung ini masih ada rumah pusaka arwah mak dan ayah, kami sentiasa menerima kepulangan abang," katanya.

Katanya lagi, pada tahun 2021, adiknya Nasaruddin meninggal dunia akibat Covid-19 dan kematiannya itu menyebabkan mereka perlu menyelesaikan harta peninggalan arwah bapa, Mansor Manaf di mahkamah.

"Namun, sehingga kini, urusan tersebut tidak dapat diselesaikan kerana abang gagal dikesan. Sehubungan itu, individu yang mengenali abang saya boleh menghubungi saya di talian 011-27770571,” katanya.