IPOH - Tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang mengarahkan syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan untuk menukar status tanah lain milik syarikat berkenaan kepada rizab Melayu adalah tidak bertepatan dengan undang-undang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, saranan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Tanah Rizab Melayu 1933 yang mana sebarang urusan bertentangan dengan enakmen sama ada bagi tujuan urus niaga atau pelupusan adalah terbatal sekiranya dipindah kepada bukan Melayu.
Menurut beliau, langkah PTG yang turut mengenakan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi menghalang sebarang pindah milik kepada bukan Melayu akan merugikan pemegang tanah.
"Kita tidak mempertikaikan usaha itu cuma apabila dibuat Kaveat Pendaftar, ia tidak selesaikan apa-apa masalah kerana lebih merugikan pemilik tanah atau pemegang tanah bukan Melayu yang sudah beli tanah terbabit tanpa mengetahui ada sekatan.
"Tindakan yang dibuat PTG ini perlu penyelesaian yang lebih holistik. Saranan meminta syarikat ganti tanah lain, adakah ia mengikut undang-undang, bagaimana dengan Seksyen 19 enakmen yang ada ini?
"Penyelesaian itu adalah kurang memuaskan dan kami tidak bersetuju dengan keputusan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tidak bersetuju dengan arahan PTG Perak kepada Timbalan Pengarahnya, Nur Azlina Othman di sini pada Isnin.
Hishamuddin berkata, tanah rizab Melayu boleh dikembalikan dan pemilikan tanah itu boleh diperbetulkan mengikut Seksyen 380, Seksyen 417 dan Seksyen 419 Kanun Tanah Negara 1965.
Tambah beliau, isu ini juga perlu dirujuk kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan bukanlah Exco.
"Sekiranya ada apa-apa kesalahan dalam pindah milik yang tidak selaras dengan undang-undang, kita tidak teragak-agak mendesak pihak berkaitan membuat siasatan di bawah Seksyen 167 Kanun Keseksaan dan Seksyen 214A kerana ia satu perbuatan jenayah.
"Kita juga akan melaporkan isu ini kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain mendesak pihak PTG supaya jangan sesekali batalkan status tanah itu. Kita cabar di mahkamah atau isu ini dirujuk kepada sultan menerusi satu memorandum akan datang," katanya.
Sebelum ini, isu TRM seluas 3,214 hektar di Sitiawan itu hangat diperkatakan kerana sudah berpindah milik kepada bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu kepada syarikat bukan Melayu.
Sinar Harian melaporkan arahan PTG Perak menggantikan tanah lain dikeluarkan setelah syarikat berkenaan bersetuju untuk menukar tanah bukan rizab Melayu milik mereka di Teluk Intan dan Tapah kepada rizab Melayu menerusi rundingan yang telah dijalankan.
Menurut Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip, setakat ini keseluruhan tanah milik syarikat berkenaan yang telah ditukar menjadi rizab Melayu hanya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah dimiliki di Sitiawan.