PERMATANG PAUH - Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Abu Hasan Mahmud kesal apabila kisah keperitan hidupnya yang dikongsi di laman sosial menjadi pertikaian pihak tertentu selain dilemparkan tuduhan tidak berasas terhadap keluarganya.
Menurutnya, coretan mengenai kepayahan hidup dilalui bersama isteri yang juga cacat penglihatan dikongsikan oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di laman facebook namun menjadi perdebatan penyokong beberapa parti politik.
Katanya, isu mengenai kehidupan keluarganya dijadikan modal politik pihak tertentu termasuk bahan untuk menyerang pemimpin selain cerita yang tidak benar mengenai kehidupan dilaluinya.
"Apa yang ditulis oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh di laman facebook peribadinya memang kisah keperitan hidup keluarga kami malah tidak ada satu perkara pun yang ditokok tambah atau menyerang mana-mana pihak lain.
"Tak sepatutnya netizen dan penyokong parti tertentu menyerang beliau (Nurul Izzah) dan mempertikaikan apa yang cuba disampaikan kerana semua yang ditulis adalah kisah yang saya ceritakan sendiri mengenai cabaran hidup kami sebagai OKU dalam meneruskan kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui pemberita di Flat Ampang Jajar dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Abu Hassan berkata, apa yang dipertikaikan oleh mereka di laman sosial terutama di TikTok adalah kenyataan yang tidak tepat termasuk berniat jahat hingga memberi gambaran buruk terhadap keluarganya.
Jelasnya, dakwaan dia memiliki dua buah rumah tidak benar sama sekali sebaliknya Abu Hassan mengakui baharu membeli rumah di Projek Perumahan Rakyat Desa Wawasan di Bukit Mertajam atas bantuan kerajaan negeri.
Selain itu, tuduhan kononnya keluarganya menjalani kehidupan mewah kerana sering menikmati makanan di restoran makanan segera dan menggunakan perkhidmatan Grab untuk bergerak juga satu tuduhan melulu.
"Memang betul saya ada bawa keluarga makan KFC (Kentucky Fried Chicken) tapi bukanlah setiap hari sebaliknya hanya dalam enam bulan sekali... itupun apabila saya dapat pendapatan lebih sedikit atau pada hari-hari istimewa seperti hari raya Aidilfitri.
"Mengenai menggunakan perkhidmatan Grab, memang pengangkutan itu yang paling mudah untuk kami bergerak tambahan pula saya perlu membawa bersama barangan jualan, peralatan termasuk kerusi urut serta barangan lain...kalau nak naik bas macam mana kami nak bawa semua barang-barang tu," katanya lagi.
Abu Hassan berkata, untuk bergerak ke lokasi berniaga, menghantar anak sekolah dan membuka gerai urutan di kawasan Padang Kota Lama setiap hari dia perlu membayar hampir RM70 hingga RM80 bagi perkhidmatan Grab.
Abu Hasan dan isterinya, Nor Amida bekerja sebagai tukang urut di sekitar Padang Kota dan menjual bekas plastik di pasar malam Permatang Pauh.
Sementara itu, Khai Loon berharap penyokong parti politik serta askar siber tertentu agar menghentikan serangan dan bersifat lebih empati terhadap keluarga Abu Hasan dan OKU yang lain.
"Saya harap orang ramai faham mengenai kehidupan Abu Hasan yang perlu berdepan cabaran tetapi tetap berdikari atas usaha sendiri tanpa meminta bantuan orang lain dan dia tidak sepatutnya dilihat sebagai individu yang mahu mengambil kesempatan,”katanya.