SEPANG - Polis mengambil keterangan daripada keluarga serta beberapa rakan ketua jururawat yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, setakat ini tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai kes kehilangan Siti Khairina Mohd Kamarudin.
"Siti Khairina masih belum pulang ke pangkuan keluarga, hasil siasatan dijalankan belum ada sebarang petunjuk baharu.
"Setakat ini polis sudah mengambil keterangan termasuk daripada keluarga dan rakan-rakannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, adik Siti Khairina, Siti Khairani Kamaruddin, 36, berkata, dia dan keluarga cuba mencari kakaknya itu di sekitar kawasan Cyberjaya, Seri Kembangan dan The Mines.
ARTIKEL BERKAITAN:
Siti Kharina masih belum pulang setelah lima hari hilang
Ketua jururawat hilang: Kakak patut balik kampung tapi...
"Kami mencarinya di seluruh tempat termasuk di Cyberjaya, tapi setakat ini, memang belum jumpa, ada yang kata kakak saya sebenarnya sudah balik, saya nafikan perkara ini, dia belum balik sejak hari dia hilang sehingga kini.
"Jika ada orang ramai yang terlihat kakak saya, atau ternampak kenderaan dinaikinya iaitu Honda City berwarna putih bernombor pendaftaran BEY 1361 agar dapat terus menghubungi saya di talian 012-2587764," katanya.
Menyifatkan kakaknya itu sebagai seorang yang periang dan suka berterus terang, Siti Khairani berkata, kakaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga mahu pun rakan.
"Kakak ni dia jenis yang periang, kalau nak cakap apa-apa, dia akan cakap secara berdepan, tiada apa yang nak disimpan dan dia bukan seorang yang suka merajuk.
"Jadi siapa yang kata puncanya menghilangkan diri sebab ada masalah merajuk atau sebagainya, saya rasa tidak sebab saya kenal kakak saya macam mana," katanya.