STEM penting untuk pembangunan negara - Mohamad

Iklan
Datuk Seri Mohamad Hasan
ALOR GAJAH - Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam pembangunan negara sekali gus membantu memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, sebagai contoh, Kementerian Pertahanan mempunyai agensi dikenali sebagai Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang memfokuskan kepada teknologi pertahanan.

"(Bagaimanapun) STRIDE ini sangat senyap sebab banyak melibatkan teknologi pertahanan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat MADANI di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini pada Isnin.

Mohamad berkata justeru, anjakan paradigma perlu dilakukan oleh semua pihak bagi memastikan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi dengan sokongan teknologi terbaharu dihasilkan anak tempatan.

"Negara maju tak import teknologi dari luar tetapi ia didukung oleh anak bangsa...nak jadi negara yang mencipta perlu ada kekuatan dalam STEM,” katanya. - Bernama