Jasad Fahmi akhirnya ditemui terapung

Iklan
Mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi hilang pada jam 5.29 petang ketika operasi digerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Foto: Bomba Perak

MANJUNG - Jasad remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Senangin sejak Ahad dijumpai dalam keadaan terapung pada Isnin.

Mayat Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa hilang pada jam 5.29 petang ketika operasi digerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bot digunakan di lokasi mangsa tenggelam dengan membuat beberapa pusingan dalam usaha menaikkan mangsa.

"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga membuat carian dan selaman di lokasi sama.

Iklan

"Mangsa kemudiannya timbul 10 meter dari lokasi selaman PPDA dan telah disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR yang masuk hari kedua itu berdepan cabaran ombak besar dan hujan berterusan di lokasi kejadian.

Iklan

Katanya, kawasan pencarian juga diperluas hingga 4.16 batu nautika iaitu 7.4 kilometer dari kawasan pantai ke Tanjung Hantu.

"Seramai 49 anggota pelbagai agensi terlibat dalam SAR ini membabitkan JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan nelayan tempatan.

"Operasi ditutup sepenuhnya pada jam 6 petang dan mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, Muhammad Fahmi Hafizi disyaki lemas selepas ditarik ombak kuat ketika melakukan aktiviti mandi di pantai bersama keluarga dan rakan.