Platform Airbnb perlu didaftar - MOTAC

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Platform penyewaan jangka pendek terutama Airbnb perlu didaftarkan secara sah bagi mengelakkan konflik antara pelancong dan penduduk.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengawal selia platform tersebut selepas mengambil kira aduan daripada orang ramai serta beberapa masalah yang mungkin dihadapi pelancong berhubung penginapan mereka.

Iklan
Iklan

"Konflik boleh tercetus ekoran terdapat perbezaan waktu istirehat penduduk dengan pelancong. Sebagai contoh, individu atau pihak yang menginap di kawasan kediaman tersebut mungkin akan pulang pada tengah malam selepas aktiviti mereka selesai.

"Jadi tidak dinafikan akan terdapat ganguan dan seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati dan rungutan penduduk, situasi itu juga mampu menjejaskan rutin seharian penduduk yang mendiami bangunan tersebut," katanya pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, susulan itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata, ia termasuk berkemungkinan merancang beberapa kawasan khas sebagai penginapan pelancong dan merangka pelan serta garis panduan yang ketat bagi memastikan pemain industri mematuhi peraturan dan keperluan yang diperlukan.

Iklan

"Inisiatif itu penting bagi melindungi hak dan kepentingan penduduk tanpa menjejaskan aktiviti perniagaan pemain industri selain menawarkan penginapan yang tenang serta selesa kepada para pelancong sepanjang perjalanan mereka di negara ini," ujarnya.

Tambahnya, garis panduan keselamatan juga akan ditambahbaik dan diteliti semula susulan kemalangan bot di Semporna baru-baru ini yang menyebabkan seorang pelancong asing maut.

Ujarnya lagi, usaha itu penting demi menjaga keselamatan para pelancong termasuk pengendali bot ketika menjalankan aktiviti air.

"Selain berusaha meminimakan risiko kemalangan, ia juga berupaya memberi keyakinan kepada para pelancong untuk menikmati aktiviti-aktiviti pelancongan yang ditawarkan oleh pemain industri tempatan.

"Justeru, sebagai langkah perlindungan, kami amat menggalakkan sekiranya para pelancong dan pemain industri dapat membuat tuntutan insurans atau apa juga kaedah bagi mengurangkan kos kerugian," katanya.

MOTAC turut memaklumkan, pihaknya kini sedang menjalankan penyelidikan bagi memperkukuhkan lagi penyeragaman industri pelancongan, termasuk menambahbaik kandungan garis panduan keselamatan penginapan yang lapuk.

"Ini bertujuan untuk menyediakan lebih perlindungan kepada para pelancong dan pemain industri serta membangunkan industri pelancongan yang mampan.

"Memandangkan ia merupakan salah satu kuasa utama dalam ekonomi Malaysia selain menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelancong," ujarnya