JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) minggu ini mula melakukan operasi khas ke atas kenderaan perdagangan yang membawa lebihan muatan susulan kemalangan maut membabitkan sebuah treler 26 tayar merempuh 13 kenderaan di Putrajaya, 20 September lalu.
Sungguhpun pemandu treler itu didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin atas tuduhan memandu secara berbahaya dan bukan atas kesalahan terlebih muatan, isu kenderaan berat membawa barang berlebihan hakikatnya sudah berlarutan terlalu lama di negara ini.
Lebih mengejutkan, JPJ baru-baru ini mendedahkan pihaknya menahan beberapa kenderaan berat membawa muatan melebihi 70 peratus hingga 140 peratus daripada had yang dibenarkan.
Kenderaan berat dengan muatan berlebihan adalah berisiko tinggi menyebabkan kemalangan maut atas faktor brek dan teknikal. Ia juga mengakibatkan kerosakan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan kepada kenderaan lain.
Bayaran pemandu lori adalah mengikut jarak perjalanan dan berat muatan. Lagi jauh penghantaran dan lagi banyak muatan, lagi banyaklah pendapatan mereka. Pengusaha lori pula menggunakan alasan kos penyelenggaraan yang tinggi selain persaingan dengan pengusaha lain.
Pada zaman hendak dapat sekampit beras murah pun susah sekarang, tidak mustahil mereka sanggup mengambil risiko tersebut.
Kesalahan terlebih muatan mengikut Akta JPJ 1987 boleh didenda maksimum RM2,000 manakala Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 memperuntukkan denda sehingga RM500,000.
Bagaimanapun, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Law Teik Hua memberitahu Sinar Harian, kerajaan patut mengenakan denda RM300 bagi setiap satu kilogram muatan yang melebihi had sepatutnya. Beliau percaya orang akan lebih takut dan serik untuk melakukan kesalahan kalau melibatkan hal duit.
Dalam hal ini, JPJ memikul amanah dalam menguatkuasakan undang-undang. Tidak kiralah mereka membawa lebih muatan kerana tamak atau terpaksa, undang-undang tidak mengenal siapa.
Paling penting, kita juga tidak mahu skandal ‘sindiket lori kebal’ pada 2019 berulang, yang menyebabkan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Kedah dan Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.