Titi roboh akibat kepala air, jalan ke kebun terputus

Iklan
Ishak dan Mohd Yusof (kanan) menunjukkan titi yang dibina secara gotong-royong runtuh semula selepas seminggu siap akibat dilanda arus deras.

BALING - Lebih 60 pengusaha kebun di Lata Celak di sini tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian mereka berikutan titi yang menghubungkan laluan berkenaan, roboh dalam kejadian kepala air tahun lalu.

Ishak Saad, 57, berkata, keluasan kawasan yang diusahakan mencecah 50 hektar merangkumi pelbagai jenis tanaman antaranya kebun getah dan buah-buahan diusahakan penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi membolehkan kegiatan pertanian itu diteruskan, penduduk sedaya-upaya mengutip sumbangan bagi membina titi secara gotong-royong yang mencecah kos lebih kurang RM8,000.

Ishak

"Bagaimanapun, titi yang siap hanya bertahan seminggu selepas roboh semula akibat dilanda arus deras baru-baru ini," jelasnya.

Iklan

Difahamkan, sebelum ini, kerajaan telah membina sebuah titi di kawasan berkenaan namun laluan ke kebun perlu melalui kedua-dua buah titi untuk ke sana berikutan aliran sungai yang panjang.

Jelas Ishak, kehidupan mereka sekeluarga bagaikan jatuh ditimpa tangga kerana bukan sahaja kebun tidak dapat diusahakan, rumahnya turut terjejas kerana dikategorikan dalam zon kuning serta tidak selamat untuk didiami.

Iklan

"Banjir baru ini juga terkesan bila banyak kawasan air naik, sekarang ini, rumah kena sewa, kebun pula tak boleh diusahakan, harap ada pihak tertentu dapat bantu kami untuk pulih semula kehidupan," luahnya.

Selain itu, Mohd Yusof Wan Teh, 61, berkata, setelah lebih setahun lepas tragedi berlaku, kini, penduduk perlu bangkit kembali menyara keluarga dan bekerja seperti biasa.

Mohd Yusof

"Selain titi roboh, jalan masuk ke kebun juga musnah...keadaan ini menyebabkan ramai pengusaha tidak tentu arah, hanya mampu buat kerja-kerja kampung serta masih ada yang mengganggur," katanya.

Dalam kejadian kepala air Kampung Iboi, 4 Julai 2022, tiga beranak terkorban kerana dihanyutkan air bersama rumah mereka selain ribuan mangsa terjejas akibat dilanda arus deras.

"Kami harap kerajaan ambil peduli dengan nasib penduduk kampung yang terjejas teruk," katanya.

Lata Celak yang sebelum ini merupakan lokasi peranginan terkenal dengan kecantikan dan keindahan alam semulajadi terletak berdekatan Kampung Iboi turut terjejas apabila dilanda banjir lumpur dalam kejadian sama.

Difahamkan, kawasan kebun getah dan dusun yang diusahakan penduduk berjarak kira-kira dua kilometer dari Kampung Iboi serta 12 kilometer dari Gunung Inas.

Sementara itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, aktiviti pertanian penduduk yang terjejas dengan tragedi kepala air sehingga kini masih belum dapat diteruskan.

Beliau berharap agar kerajaan mengambil perhatian bagi memastikan setiap ketua keluarga dapat menyara kehidupan dengan hasil pertanian yang diusahakan sejak puluhan tahun itu.

"Walaupun penduduk masih trauma dengan kejadian kepala air tahun lalu namun aktiviti harian perlu diteruskan, mereka perlu menyara keluarga serta persekolahan anak-anak perlu diteruskan seperti biasa," katanya.