'Sejak kecil Amizar dipanggil YB' - Bapa

Iklan
Abu Adam bersama isterinya, Zizanin ketika ditemui di kediamannya di Felda Chemomoi pada Isnin.

BENTONG -"Memang sejak kecil dia selalu dipanggil YB oleh bapa-bapa saudaranya," kata Abu Adam Duaji, 74, ayah Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar.

Menurut peneroka di Felda Chemomoi, beliau tidak terkejut apabila anak ketiga daripada tujuh beradik itu yang mesra dengan panggilan Uda dalam kalangan keluarga menceburi bidang politik susulan kepimpinan dan personaliti yang ditunjukkan.

Iklan
Iklan

"Cara pakaian yang kemas, baju selalu 'tuck-in', rambut tak pernah panjang, itula gaya dia (Amizar).

"Jadi bila dia dah jadi calon, saya dan keluarga bagi sokongan penuh atas pilihan kerana anak-anak lain juga aktif dalam politik," tambah beliau.

Iklan

Tambah Abu Adam yang masih kelihatan cergas, Amizar juga sering bertanya rahsia kesihatan dirinya.

"Rahsianya selalu berdoa kepada ALLAH, minta doakan kesihatan diri, itu yang paling penting selain sering pesan, jangan mengeluh nanti ALLAH marah," katanya yang mesra dipanggil abah termasuk cucu dan cicitnya.

Iklan

Dalam pada itu, sepanjang kempen PRK DUN Pelangai, Amizar tetap balik ke rumah setiap hari walau sesibuk mana berkempen.

"Setiap hari, Amizar akan balik ke rumah, bila dia keluar, akan hantar ke depan rumah dan saya sendiri tidak akan tidur sehingga anak balik," katanya.

Abu Adam berkata, isterinya meninggal dunia akibat demam denggi pada 2005 sebelum berkahwin baharu dengan Zizanin Abdul Rahim, 57, beberapa tahun kemudian.

Selain itu, beliau juga mendedahkan Amizar berbakat dalam bidang muzik.

Tambah Abu Adam, keluarganya memiliki 'live band' sendiri dan sering diundang membuat persembahan khususnya ketika kenduri kahwin.

"Masa muda memang terlibat dalam bidang seni dan dulu lebih dikenali dengan nama D Shahrin, main drum ketika itu dalam kumpulan The Kilat di Melaka. Ketika itu popular dengan lagu Kereta Lembu.

"Dalam live band keluarga pula, Amizar juga pandai menyanyi selain main gitar utama bersama adik-beradik yang lain," katanya.

Sementara itu, kakak Amizar, Anita, 52, yang juga Bendahari Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak turun padang membantu kempen adiknya dalam PRK kali ini.

"Boleh dikatakan hampir semua kami adik-beradik terlibat dalam politik dan didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan dan aktif berpersatuan sejak remaja lagi," jelas Anita lagi.