SABAH FC berdepan situasi sama seperti di Stadium Likas sebelum ini, kecuali kali ini The Rhinos gagal menyamakan kedudukan di Stadium Perak.
Itu reaksi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selepas cabaran kelab dari Kepulauan Borneo berkenaan dalam saingan Piala Malaysia berakhir di suku akhir setelah tewas dengan agregat 3-2 pada Isnin.
"Kita juga gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol yang dipersia-siakan dalam perlawanan ini.
"Pujian juga harus diberikan kepada Perak FC yang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan keputusan untuk layak ke separuh akhir.
"Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada mereka yang akan berdepan JDT untuk melangkah lebih jauh," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Ipoh pada Isnin.
Perak menafikan hajat Sabah ke separuh akhir menerusi kemenangan 1-0 dalam perlawanan suku akhir kedua hasil jaringan Wan Zack Haikal pada minit ke-45.
Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan Sabah sememangnya berhasrat mara kelompok empat terbaik, namun nasib tidak menyebelahi pasukan tersebut.
"Kita mahu layak ke separuh akhir daripada apa yang dilihat pada hari ini cuma kita gagal menjaringkan gol.
"Namun selepas perlawanan menentang PSM Makassar dalam kempen Piala AFC di Bali, kita mempunyai jurang waktu agak lama.
"Di situ nanti saya tidak hanya perlu memikirkan barisan pemain sedia ada tetapi juga yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan," katanya.