Ternakan babi kekal bebas penyakit Nipah

Iklan
Malaysia bebas penyakit Nipah dalam ternakan babi melalui program survelan berkala. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Malaysia terus mengekalkan status bebas penyakit Nipah di dalam ternakan babi melalui program survelan berkala.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerusi kenyataan memaklumkan, berdasarkan kepada hasil survelan tahunan terkini sehingga Ogos yang dijalankan ke atas 399 sampel babi komersial mendapati keputusan ujian adalah negatif penyakit berkenaan.

Iklan
Iklan

Penyakit Nipah disebabkan oleh jangkitan virus nipah melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, udara dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut atau tisu dari haiwan yang terjangkit.

Penyakit ini disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31 (1) oleh DVS.

Iklan

Menurut kenyataan itu, penyakit Nipah pertama kali dikesan di negara ini pada tahun 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan.

"Ia menyebabkan kerugian besar kepada penternak babi dan ekonomi negara serta meragut 105 nyawa manusia," kata kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Tambah kenyataan itu, usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi telah dijalankan ketika itu dan pada awal 2001 negara diisytihar bebas dari penyakit Nipah oleh World Organisation for Animal Health (OIE).

"Status bebas Nipah terus dikekalkan negara sehingga kini," kata kenyataan itu.

Dalam memastikan industri ternakan babi bebas dari sebarang ancaman penyakit, DVS akan terus menjalankan survelan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik (berjangkit kepada manusia) ini dapat dicegah dari masuk ke dalam negara.

"Penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang (famili spesis kelawar) yang berkebolehan untuk menjadi perumah semula jadi virus Nipah.

"Orang awam juga dinasihatkan untuk melapor sebarang kejadian penyakit berjangkit dalam ternakan seperti babi, kuda, atau haiwan peliharaan kepada DVS untuk tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan tiada kes baharu penyakit Nipah dalam kalangan manusia di negara ini sejak kes terakhir penyakit itu dikesan di Malaysia pada 27 Mei 1999.