Satu PPS dibuka di Kedah, mangsa banjir di Sabah, Sarawak dan Perak kekal

Iklan
Suri rumah, Azizah Rehab, 62, menyelamatkan barang-barang keperluan harian apabila rumahnya di Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar dinaiki air. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kedah menjadi negeri keempat membuka pusat pemindahan sementara (PPS) manakala jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak dan Perak kekal setakat jam 9 pagi ini.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir di PPS di daerah Kubang Pasu yang dibuka jam 9 malam tadi meningkat kepada 61 orang daripada 18 keluarga pada pagi ini berbanding 21 orang malam tadi.

Iklan
Iklan

Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun serta status semasa air banjir semakin meningkat susulan keadaan hujan renyai.

PPS SMK Changlun menempatkan mangsa dari Kampung Nangmah dan Kampung Paya Nong Mi di Mukim Temin selepas air mulai naik di kawasan kediaman mereka pada jam 8.50 malam akibat hujan renyai melebihi lapan jam di daerah berkenaan.

Iklan

Di Perak, jumlah mangsa kekal dengan 38 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah di daerah Kerian yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Changkat Lobak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak masih ditutup kerana air masih belum surut.

Iklan

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir kekal dengan lapan orang daripada tiga keluarga dari Kampung Buluh Balui, Kampung Batu Danau serta Kampung Pandak di PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui.

Di Sabah pula, seramai 134 mangsa daripada 46 keluarga terjejas di Beaufort masih ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak Ahad lepas susulan banjir akibat hujan lebat berterusan.

Sementara itu, sebuah PPS dibuka di Masjid al-Imran, Ulu Pauh di Perlis susulan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Arau akibat hujan berterusan sejak pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, PPS itu dibuka pada jam 8 malam bagi menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Ulu Pauh, Kampung Tengah Ulu Pauh dan kawasan pedalaman Kampung Rambai.

"Setakat jam 10 pagi ini banjir di kawasan Ulu Pauh sudah surut sepenuhnya manakala dua kawasan lagi banjir masih belum surut namun paras air tidak tinggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dan menasihatkan semua penduduk agar sentiasa berwaspada serta peka dengan keadaan semasa. - Bernama