1,000 kampit beras 5kg pada harga RM1, habis dalam 30 minit

Iklan
Orang ramai menunggu sejak awal di pekarangan Dewan Serbaguna Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi membeli beras 5kg dengan harga RM1 sekampit.

SUNGAI PETANI - Sebanyak 1,000 kampit beras lima kilogram (kg) bernilai RM1 selesai dijual dalam masa setengah jam kepada 1,000 penduduk oleh Yayasan Misi Rakyat di Dewan Serbaguna Masjid Sultan Abdul Halim di sini pada Selasa.

Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata, pengagihan yang dimulakan jam 9 pagi itu lancar, walaupun ada penduduk telah menunggu lebih awal sejak jam 6.45 pagi di lokasi pengagihan.

Iklan
Iklan

Beliau yang berasal dari Perlis dan membesar di Langkawi itu menjelaskan, matlamat utama program tersebut ialah memberi keutamaan kepada golongan tidak berkemampuan membeli beras dengan hanya RM1.

"Idea ini datang daripada kisah ibu bapa yang pernah hidup susah di mana berkongsi dua bungkus mi segera dengan 10 ahli keluarga, dari kisah itu saya jadikan inspirasi melalui jualan RM1 dapat beli beras," katanya.

Iklan
Jelas beliau, yayasan itu baru sahaja menjalankan program sama di Perak manakala Kedah merupakan destinasi kedua.

Suri rumah, Roslina Husin, 40, dari Taman Ria Jaya berkata, pendekatan itu sangat bermakna kepada golongan berpendapatan rendah ditambah pula kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Saya datang tadi jam 6.45 pagi, hanya ada satu kereta sahaja, saya tunggu sampai pukul 9 beras mula dijual, terima kasih bagi peluang ini, kuranglah sikit beban keluarga," katanya.

Iklan
Orang ramai tidak melepaskan peluang mengucapkan terima kasih dan bergambar bersama Nur Ahmad Faiz (tengah).

Dalam pada itu, bekas pemandu bas sekolah, Ghazali Othman, 71, dari Batu Dua berkata, dia hadir kira-kira jam 7 pagi ke dewan berkenaan dan merupakan antara yang terawal bagi mengelakkan kesesakan.

"Pada jam 7.45 pagi pagar dewan dibuka, ketika itu ada dua orang kurang upaya, saya beri mereka laluan dan saya adalah orang ketiga yang terima kupon.

"Kat luar saya beli RM35 sekampit 10kg beras, tetapi di sini dapat RM1 untuk 5kg, sangat berbaloi dan berharap dapat tampung keperluan saya serta isteri dalam tempoh sebulan ini," katanya.

Seorang lagi, Salmah Suid, 39, dari Sungai Petani berkata, penjualan beras dengan harga RM1 sangat membantu penduduk yang terkesan berikutan harga beras yang meningkat di pasaran.

Orang ramai yang memenuhi Dewan Serbaguna Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi membeli beras dengan harga RM1 sekampit.

"Saya harap jualan beras sekampit RM1 ini boleh diteruskan tiap-tiap bulan pun tak apa, sekurang-kurangnya membantu rakyat yang terjejas macam kami," jelasnya gembira.