SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abd Aziz melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggung jawab menceroboh secara tidak berakhlak dan beretika ke kawasan sekolah berkenaan.
Katanya, kejadian yang berlaku awal pagi tadi, sungguh mendukacitakan pihak mereka, kerana ia jelas satu jenayah serius terhadap kepentingan hartanah dan sekolah tersebut.
"Saya mengulangi, bahawa sesuai dengan amanat arwah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, status Darul Anuar adalah jelas; ia diamanahkan untuk dikendalikan pihak Lembaga Pengarah.
"Tidak pernah dalam apa juga keadaan atau apa juga kenyataan atau bukti bertulis, bahawa Darul Anuar diserahkan kepada mana-mana pihak selain Lembaga Pengarah yang telah dan sedang menjalankan semua tadbir urus Darul Anuar sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berhubung kejadian itu, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 6 pagi tadi, terdapat suspek yang memecah pintu sekolah dan menceroboh kawasan bangunan dan pejabat pentadbiran Darul Anuar.
Selain menceroboh, pelaku jenayah ini turut memecah masuk ruang pejabat mengeledah peralatan milik Darul Anuar.
Mengulas lanjut berhubung kejadian ini, Nik Omar berkata pihaknya, akan mengambil tindakan undang-undang.
"Pihak Lembaga Pengarah sedang menyiasat sekiranya berlaku kecurian atau kemusnahan terhadap dokumen-dokumen penting milik Darul Anuar dan akan membuat laporan polis berikutan perlakuan pencerobohan awal pagi tadi.
"Kami juga akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak luar yang muncul pada 8 pagi tadi dan mengambil alih secara tidak berperundangan," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai kemunculan pihak luar itu, katanya adalah tidak wajar mereka datang dan merampas pentadbiran Darul Anuar dengan menghalau kakitangan yang diamanahkan Lembaga Pengarah untuk menjaga sekolah berkenaan.
Katanya lagi, tindakan pencerobohan, kerosakan harta-benda, penggelidahan dan pengambil alihan tanpa etika dan bersifat jenayah ini adalah tidak sepatutnya berlaku.
"Semua pihak patut berhemah dan mengutamakan akhlak agama dengan membiarkan undang-undang menyelesaikan krisis ini tanpa sebarang perlakuan kasar dan tidak bermoral.Saya amat kesal dengan perbuatan ini," katanya.
Kemelut pemilikan Mahaad Darul Anuar, di Pulau Melaka, Kelantan tercetus susulan penularan satu surat bahawa ia bakal diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada Januari 2019.
Ia disahkan oleh keluarga besar arwah Datuk Nik Aziz Nik Mat yang kemudiannya dinafikan Nik Omar yang menegaskan beliau sebagai pemegang amanah arwah bapanya.