PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Warga asing di Malaysia perlu diberi keizinan untuk terus membeli bekalan beras termasuk beras tempatan atas dasar kemanusiaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kehadiran golongan itu ke negara ini untuk bekerja di dalam pelbagai sektor termasuk di peringkat bawahan.
"Ada yang kerja di sektor pembinaan, perladangan dan juga pengawal keselamatan. Bagi saya ia soal kemanusiaan, mereka perlu makanan," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas desakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh agar kerajaan mengehadkan penjualan beras tempatan hanya untuk rakyat negara ini.
Mohamad berkata, sebarang tindakan terburu-buru perlu dielakkan di saat negara sedang berada di dalam situasi sekarang.
"Jangan gopohlah kerana jika pekerja kita yang berada di luar negara tidak boleh membeli beras murah untuk dimakan, kita akan terasa," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, kementerian akan mengadakan pertemuan bersama pemegang taruh berhubung perincian prosedur operasi standard (SOP) pemberian lesen borong kepada pengusaha restoran untuk membolehkan mereka membeli beras putih import (BPI) pada harga borong.
"Pihak Pejabat Kawalselia Padi dan Beras akan berjumpa terus dan berdialog supaya mereka dapat memahami pengusaha restoran dan sebagainya.
"Mereka akan diberi harga borong untuk dapatkan BPI supaya mereka tidak tertumpu kepada beras tempatan untuk jualan makanan di restoran,” katanya.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) pada Isnin meminta kerajaan memperincikan segera SOP berhubung lesen borong yang boleh diberikan kepada pengusaha restoran susulan kesukaran mendapatkan beras putih tempatan (BPT) menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada BPI.
Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ini kali pertama KPKM memperkenalkan inisiatif tersebut kepada pengusaha restoran dan pihaknya sedia memohon lesen ditawarkan itu demi kelangsungan perniagaan.