MARAN - Seorang wanita warga emas dari Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Bukit Kening, di sini dilaporkan hilang sejak petang Ahad lalu.
Kehilangan mangsa, Nafisah Bakar, 81, disedari ahli keluarganya kira-kira jam 3.30 petang selepas warga emas itu tiada di rumah.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran, Kapten Pertahanan Awam (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, ahli keluarga telah mencari mangsa di kawasan sekitar namun gagal ditemui.
Menurutnya, kehilangan warga emas itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kira-kira jam 6.30 petang untuk bantuan mencari.
"Pencarian awal telah dimulakan kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.
"Laporan polis turut dibuat ahli keluarga di Balai Polis Chenor pada petang Isnin sebelum operasi SAR secara menyeluruh dimulakan pada pagi Selasa," katanya.
Mohd Nor Azhar berkata, operasi SAR melibatkan kekuatan lebih 60 anggota dan pegawai terdiri dari polis, bomba, APM dan penduduk kampung.
"Operasi pencarian turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) polis dengan tumpuan pencarian melibatkan kawasan tiga kilometer radius dari kawasan rumah mangsa.
"Pencarian masih diteruskan namun sehingga jam 12.30 tengah hari mangsa masih belum ditemui," ujarnya.