BACHOK - Tindakan seorang lelaki dipercayai penyeludup diesel bersubsidi lari sejauh 500 meter untuk meloloskan diri gagal apabila berjaya ditahan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di Kampung Telong, Kandis, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek warga tempatan berusia 26 tahun sebelum itu telah dikejar sejauh 10 kilometer (km) dari Kota Bharu sebelum menghentikan kenderaan Proton Exora yang dipandunya secara mengejut dan kemudian melarikan diri.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, terdahulu suspek dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di jalan raya sekitar Kota Bharu selepas membuat pembelian pengisian minyak diesel secara berulang di beberapa stesen minyak.
"Seterusnya pasukan penguat kuasa telah mengekorinya dan menyedari diekori, suspek dalam keadaan cemas memecut kenderaan menghala ke Tumpat melalui jalan utama Jalan Semerak - Melawi - Kandis.
"Pemeriksaan lanjut ke atas Proton Exora tersebut telah menemui barang kawalan 1,250 liter di dalam tong-tong disyaki diubah suai dengan nilai rampasan sebanyak RM2,687.50," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, KPDN Kelantan sentiasa mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan dalam Ops Tiris bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini dari masa ke semasa.
Ujarnya, tindakan tegas diambil bagi membendung kegiatan aktiviti tidak bermoral ini supaya pengguna dapat menikmati sepenuhnya subsidi kerajaan
Azman memberitahu, pengguna boleh melaporkan sebarang aduan yang berkaitan dengan penyelewengan barang kawalan serta di bawah bidang kuasa KPDN melalui saluran yang disediakan oleh pihak kementerian.