PUTRAJAYA - Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai 2023 (DPT BLN7/2023) yang diperaku dan diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 25 Oktober 2023, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN7/2023 itu mengandungi 38,092 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai 2023 hingga 31 Julai 2023 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Beliau berkata, senarai berkenaan meliputi 12,360 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,416 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.
"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai 2023 hingga 31 Julai 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN7/2023,” katanya.
Semakan DPT BLN7/2023 boleh dibuat di portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Semakan juga boleh dibuat melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak atau hotline semakan pendaftaran pemilih di talian 03-88927218.
Bagi individu yang mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2023, Ikmalrudin berkata, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
"Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya.
Borang C dan Borang D boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN7/2023. - Bernama