CYBERJAYA - Integriti antara cabaran utama dalam memerangi serta menangani pelbagai elemen jenayah di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, usaha memerangi jenayah akan terbantut sekiranya soal integriti tidak menjadi keutamaan.
"Isu jenayah sama ada melibatkan penyeludupan, dadah atau pelbagai elemen jenayah yang lain, sekiranya integriti ini tidak dibudayakan, percayalah ia tidak akan berhasil.
"Integriti jika tidak dijaga maka ia akan membawa kepada kehancuran, pusing mana pun, soal integriti perlu menjadi perkara asas," katanya ketika Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023 di sini pada Selasa.
Katanya, kuasa yang ada pada seseorang individu perlu digunakan sebaiknya berdasarkan amanah dipertanggungjawabkan.
"Penjawat awam ini sampai masanya kita akan pencen. Masa itu, kita akan berehat dan buat perkara lain.
"Sekarang ada kuasa, jangan ada perasaan takut dalam melaksanakan tugas, tiada kompromi dalam mengambil sebarang tindakan, sebab itu antara amanah yang kita pikul," katanya.
Berkongsi pengalamannya, Ayob Khan berkata, beliau sendiri berhadapan dengan pelbagai situasi dalam menangani soal integriti melibatkan pegawainya.
"Kita bercakap siang malam dalam usaha memerangi dadah, tapi bila kita ada masalah dalam integriti, macam mana kita nak laksanakan tugas? Jadi dalam soal ini, memang saya tiada tolak ansur," katanya.
Jelas Ayob, usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memartabatkan integriti adalah agenda yang perlu disokong.
"Saya amat menyokong apabila Perdana Menteri menyatakan meletakkan integriti sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan," katanya.