SELEPAS kejayaan filem Nota pada tahun 2015, pasangan suami isteri dari Jepun, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka kembali dengan sebuah lagi naskhah istimewa, magiK.
Kali ini, filem kedua mereka menyasarkan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.
Berkongsi lanjut mengenai magiK, pengarah Yasu Tanaka yang juga pemilik syarikat produksi filem 42nd Pictures berkata, naskhah ini bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.
"Isteri saya, Bea ialah bekas guru pendidikan khas untuk golongan masalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa ini.
"Saya mendapat dua idea untuk disatukan iaitu; pertama, hubungan Bea dengan komuniti pekak dan kedua minat beliau terhadap alam semula jadi.
"Di situlah timbulnya idea menghasilkan kisah seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” jelasnya.
Sebagai permulaan, Yasu dan Bea menganjurkan tayangan khas magiK sepanjang dua bulan berturut-turut di beberapa lokasi terpilih mulai 16 September sebelum filem itu ditayangkan di pawagam pada 30 November depan.
Jelas Bea, pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan masalah pendengaran menonton filem ini.
"Versi yang akan ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi yang mempunyai 'closed caption' yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran," ujarnya yang turut menjemput sekolah pendidikan khas di sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Tambah Tanaka, dia juga berpeluang melihat konsep tayangan wayang pacak pada tahun 2017, apabila Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT) menjayakan tayangan Nota.
Justeru, berdasarkan pengalaman itu telah mendorong mereka merancang satu tayangan khas di Terengganu dengan konsep sama.
"Kami amat teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan para penonton yang akan hadir untuk tayangan-tayangan khas ini,” katanya.
Tayangan khas filem MagiK membabitkan tujuh lokasi terpilih di seluruh tanah air membabitkan lokasi di Sungai Petani (29 September).
Selain itu, lokasi tayangan khas di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober) Tiga lokasi tayangan khas itu akan melibatkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran. Tayangan khas MagiK di YMCA KL, adalah sebahagian dari sambutan International Deaf Day.
Jadual tayangan khas akan berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober.