SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari meminta Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said bertanding di kerusi Parlimen Kemaman sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Beliau secara peribadi berpandangan, pemimpin UMNO itu adalah individu paling layak menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk sekali lagi berdepan Pas dan Perikatan Nasional (PN).
"Kita berlawan pula sekali lagi Abang Mad (Ahmad Said),” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujar Ahmad Fadhli, Pas menghormati keputusan tersebut dan terserah kepada perbincangan di peringkat tertinggi parti untuk merayu atau sebaliknya.
Menurutnya, jika parti mengambil keputusan untuk tidak merayu bagi menjimatkan masa, maka pilihan raya akan diadakan dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi mengendalikan PRK itu.
"Namun, kita berikrar akan pertahankan Parlimen Kemaman sekali lagi dalam PRK dengan majoriti yang lebih besar, Insya-ALLAH.
"Agak pelik apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh umumkan peruntukan kerajaan semasa musim pilihan raya bukan satu rasuah seperti dilakukan Timbalan Perdana Menteri di Terengganu ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
"Sedangkan mahkamah memutuskan hari ini segala macam bentuk bantuan kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya umum ialah satu bentuk sogokan yang bertujuan mempengaruhi pengundi,” ulasnya.