Tidak sangka gurauan jemput Agong bersantap jadi kenyataan

Iklan
Foto Facebook Istana Negara

KUANTAN - Pengusaha warung, Fazilah Ahmad tidak menyangka gurauan bersama pegawai istana, Abdulaziz supaya 'menjemput' Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersantap di warungnya menjadi kenyataan hari ini.

Fazilah, 54, berkata, Warung PokWei yang diusahakan bersama suami, Ismail Ag Kechik, 74, di Sungai Karang Darat di sini, telah beberapa kali didatangi pegawai dan kakitangan istana yang mahu bersarapan roti canai serta juadah Pantai Timur seperti nasi minyak dan nasi dagang.

Iklan
Iklan

"Saya beritahu, jemputlah Tuanku (Seri Paduka) datang makan roti canai di sini. Tak sangka, bila dia (pegawai istana) beritahu insya-ALLAH Tuanku nak datang (berangkat) menyebabkan saya teruja dan dalam masa sama, bimbang jika ada terkurang.

"Rasa gugup berdepan Seri Paduka mula hilang kerana keperibadian baginda yang peramah dan bertitah supaya santai sahaja. Cuma kita yang tidak sedap hati dan naik segan jika terlalu bersahaja," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Fazilah yang mengusahakan warung itu sejak dua tahun lepas berkata, Seri Paduka yang berangkat tiba pada 9 pagi berkenan bersantap menu roti kahwin, selain turut berkenan membayar sarapan pagi pengunjung lain di situ.

Keberangkatan Seri Paduka ke warungnya juga menurut Fazilah, menyebabkan pengunjung lain enggan beredar selepas makan sebaliknya menunggu Seri Paduka selesai bersantap kerana mahu merakamkan gambar kenangan.

Iklan

"Kalau saya sendiri teruja melihat Seri Paduka secara langsung, orang lain pun sama. Kiranya hari ini hari bertuah dan bersejarah untuk kami semua kerana berpeluang merasai sendiri pengalaman orang (bertemu Seri Paduka) yang sebelum ini dilihat di media sosial," katanya.

Terdahulu, Istana Negara menerusi akaun media sosialnya memuat naik gambar Al-Sultan Abdullah mencemar duli berangkat ke Warung Pokwie untuk bersantap sarapan pagi.

Semasa berada di warung itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan pengunjung serta penduduk setempat di situ. - Bernama