NAMA dan kelibat gadis genit ini awal tahun lalu pernah menjadi bualan ramai lantaran keberkesanan lakonannya di sisi aktor berbakat besar, Remy Ishak menerusi drama Kekasih Paksa Rela.
Bagaimanapun selebriti berusia 22 tahun itu seolah-olah hilang dari radar seni sebaik sahaja drama tersebut tamat.
Menjelaskan ‘kehilangannya’, Intan Najuwa berkata, dia membuat keputusan pulang ke Johor Bahru kerana bapanya sakit."Ketika penggambaran Kekasih Paksa Rela lagi saya dah berulang alik Kuala Lumpur - Johor Bahru kerana ayah sakit.
"Selesai keseluruhan penggambaran, saya ambil keputusan untuk menjaga ayah dan berada di Johor sepanjang tempoh itu sehingga ayah sihat.
"Setelah ayah benar-benar sihat, barulah saya kembali bekerja semula,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid ini, dia tidak pernah menyesali keputusannya untuk menjaga bapa di kala berada di puncak populariti.
"Saya percaya pada rezeki dan keluarga tetap menjadi keutamaan dalam apa jua situasi.
"Tak ada istilah ralat kerana memilih untuk menjaga ayah pada saat dikenali ramai,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya adakah kontroversi dikehendaki polis sekitar tahun lalu memberi kesan kepada dirinya, Intan mengakui, ia sedikit sebanyak mengundang spekulasi bagi sesetengah pihak kerana mereka tidak mengetahui perkara sebenarnya.
"Pada keluarga dan rakan, tidak ada apa-apa kesan daripada isu terbabit tapi netizen yang hanya baca tajuk berita dan tidak baca keseluruhan isi berita, memang ramai yang kecam dan sebagainya.
"Tapi saya seorang yang bukan sorok-sorok, sahih atau tidak saya akan hadapi netizen dan jelaskan perkara sebenar.
"Isu terbabit pun dah selesai dan saya bersih daripada sebarang rekod jenayah atau sebagainya,” ujarnya yang menafikan gemar mencari perhatian ramai.
Sementara itu diusik mengenai kehidupan peribadinya, Intan berkata, dia sudah kembali solo sejak lebih setahun lalu.
Menyifatkan hubungan tersebut berakhir kerana tiada persefahaman, Intan bagaimanapun tidak pernah menutup pintu hatinya buat mana-mana lelaki.
Tidak juga meletakkan ciri-ciri tertentu buat sesiapa yang mahu mendekati, Intan hanya berharap pasangan selepas ini mampu menjadikan dirinya lebih baik.
"Hubungan kami berakhir selepas empat tahun bercinta, tidak ada orang ketiga mahupun kerana cemburu, tapi ia lebih kepada tiada lagi persefahaman.
"Buat masa ini saya mahu fokus pada kerjaya dan keluarga. Bagaimanapun saya tak pernah tutup pintu hati, kalau ada yang datang mendekati, itu hak mereka.
"Cuma selepas ini saya mahu jadi lebih privasi apabila menyentuh hal hubungan peribadi,” jelasnya.