Tolak guna bahasa asing di kawasan pembangunan baharu - Hishamuddin

Iklan
Dari kiri: Hishamuddin, Zaini, Kamarazaman dan Ruhanie dalam Forum Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Tanggungjawab Bersama sempena Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu 2023 di Hotel Le Quadri UCSI, Kuala Lumpur pada Selasa.

SHAH ALAM - Penggunaan bahasa asing terutama dalam menamakan kawasan pembangunan baharu di negara ini merupakan satu usaha untuk melupuskan bahasa Melayu.

Aktivis sosial dan penulis, Hishamuddin Rais berkata, ia secara tidak langsung menghakis jati diri sebagai rakyat Malaysia kerana meremehkan bahasa ibunda sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perdana Menteri India, Narenda Modi menggunakan nama Bharat berbanding India semasa Sidang Kemuncak G20 sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan mereka.

"Kita pula menggunakan nama seperti Bangsar South dan Kiara South. South itu daripada mana dan ukuran apa? Perkara ini perlu ditimbulkan kerana ia adalah nasionalisme keinginan yang merosakkan nama-nama kampung Melayu.

Iklan

"Kita perlu beri kesedaran bahawa Bangsar South itu ialah Kampung Kerinchi, Kampung Pantai Dalam dan Kampung Abdullah Hukum.

Turut hadir, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Ruhanie Ahmad sebagai moderator manakala Penasihat Editorial Bebas News, Datuk Zaini Hassan dan Penganalisis Politik, Kamarazaman Yaacob yang merupakan ahli panel.

Iklan

Tambah Hishamuddin, kerajaan khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menubuhkan pusat bahasa di negara-negara mempunyai jumlah rakyat yang ramai bekerja di Malaysia.

"Pekerja-pekerja dari Bangladesh, Myanmar atau mana sahaja, mereka perlu dilatih sebelum datang menjadi pekerja di sini dengan mewujudkan sekolah mengajar bahasa Melayu di sana.

"Mereka wajib mempunyai kelulusan. Ini yang sepatutnya dilakukan oleh DBP atau kerajaan yang baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Zaini berkata, perlu ada dasar atau polisi mengenai undang-undang pengiklanan papan tanda berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu.

"Dahulu, kita mempunyai polisi atau dasar berkenaan dan ia mempunyai kaitan dengan DBP yang mengawal selia iklan-iklan selain daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Namun, pada masa kini apabila kita melihat papan tanda dan iklan-iklan di kedai sudah semakin bercelaru kerana dahulu kita mempunyai dasar,” katanya.