PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes pemberian suapan sebuah kereta mewah bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan membabitkan sebuah kementerian bernilai kira-kira RM87 juta.
Menurut sumber, suapan kereta mewah itu bernilai kira-kira RM200,000.
"Wanita berusia lingkungan 30-an dipercayai pemilik syarikat penyelenggaran dan pembersihan ditahan pada jam 6.50 petang, Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Wanita itu disyaki memberikan suapan berupa kereta mewah kepada pegawai kanan kementerian tersebut pada tahun ini bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun yang diluluskan pada 2021," katanya pada Selasa.
Tambah sumber, wanita itu direman selama empat hari bermula Selasa.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.