Dakwaan pasar raya sorok beras putih tempatan hanya salah faham

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

JOHOR BAHRU - Kawal Selia Padi dan Beras Johor menafikan dakwaan terdapat pasar raya di sebuah pusat beli belah di Permas Jaya, di sini, menyorok beras putih tempatan (BPT) dan menjualnya kepada pembeli warga asing.

Pengarahnya, Mohd Alieff Sabeh menjelaskan, pihaknya mendapati ia cuma salah faham selepas menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi yang didakwa berlaku kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dakwaan seorang pemilik akaun Facebook itu bahawa pekerja pasar raya mengeluarkan BPT daripada stor dan memberikannya kepada pembeli warga asing adalah tidak benar.

"Hasil siasatan pegawai ke lokasi, ketika kejadian, tiada stok beras di pasar raya itu tetapi terdapat tiga kampit beras yang bungkusannya telah terkoyak.

Iklan

"Setelah diperiksa semula, terdapat satu bungkusan yang masih elok terselit di antara tiga kampit beras itu dan kebetulan sekumpulan warga asing tersebut bertanya sekiranya masih ada beras, lalu mengambilnya dan membuat pembayaran,” katanya ketika diminta mengulas mengenai hantaran tular itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pasar Raya Maslee bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.

Iklan

Sabtu lepas, seorang wanita menerusi hantaran di Facebook mendakwa seorang pekerja pasar raya terbabit yang dipercayai warga Nepal, mengeluarkan sekampit BPT daripada stor dan memberikannya kepada sekumpulan pelanggan dipercayai juga daripada Nepal.

Mohd Alieff turut menjelaskan, setakat ini tiada isu menyorokkan BPT dilaporkan berlaku di Johor, sekali gus menasihatkan mana-mana pasar raya agar sentiasa berhubung dengan pihaknya sekiranya bekalan mengalami kekurangan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan beras tempatan dapat disalurkan secepat mungkin, memandangkan Johor menerima bekalan BPT tambahan sebanyak 60 tan metrik semalam, bagi mengatasi kekurangan bahan makanan tersebut.

Katanya, 60 tan metrik BPT itu merupakan tambahan daripada 100 tan metrik beras yang telah diterima Johor sebelum ini.

Sementara itu, Hassan menafikan kenyataannya bahawa terdapat kekurangan bekalan barang kawalan, termasuk BPT di Pasir Gudang baru-baru ini, akan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Katanya, beliau bertanggungjawab untuk membawa suara rakyat dan memainkan peranan sebagai antara Ahli Parlimen yang terpilih menjadi Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian. - Bernama