Penatnya kena 'sidai' di hospital

Iklan

DATANG seawal pagi, namun menjelang tengah hari urusan masih juga belum selesai. Lebih teruk hampir ke petang, baru nombor dipanggil untuk bertemu doktor.

Bermakna sehari suntuklah kena 'sidai' di hospital hanya untuk bertemu doktor yang tak sampai 15 minit pun.

Iklan
Iklan

Itu yang dihadapi penulis ketika menemani suami menghadiri janji temunya di sebuah hospital kerajaan baru-baru ini. Apa yang menyedihkan, rata-rata pesakit yang menunggu bukanlah muda belia, tetapi kebanyakannya mereka yang sudah berusia.

Yang datang pula bukanlah kali pertama untuk mendapatkan rawatan, tetapi mereka yang sudah mendapat janji temu. Jadi tidak sewajarnya timbul isu waktu menunggu yang panjang kerana bilangan pesakit pastinya sudah dihadkan.

Iklan

Tidak hairan kenapa ada pesakit yang 'bergaduh' dengan petugas kesihatan dek kerana tak tahan menunggu terlalu lama.

Seperti dalam video yang tular Februari lalu, seorang pesakit tidak berpuas hati apabila mendakwa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan di Pusat Jantung Hospital Serdang.

Iklan

Pesakit lelaki berkenaan dilihat menjerit dan memarahi petugas kesihatan ketika berada di ruangan menunggu.

Rentetan daripada insiden itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tampil memohon maaf bagi pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau dilaporkan berkata, pengurusan hospital sedang meneliti perkara itu untuk melaksanakan penambahbaikan dan berharap orang ramai juga mempunyai rasa empati terhadap petugas kesihatan yang bekerja keras tanpa henti untuk membantu dan memberi yang terbaik.

Malangnya, selepas beberapa bulan kejadian itu, masalah sama masih juga berlaku. Tetaplah pesakit perlu mengharungi masa yang panjang untuk bertemu doktor. Ini adalah berdasarkan pengalaman penulis dan suami sendiri yang menghadiri janji temu pada Julai lalu di hospital sama.

Itu bukan pertama kali kami berdepan isu sedemikian, boleh dikatakan hampir setiap kali menghadiri janji temu ulangan di hospital kerajaan, tiap kali itulah kena menunggu lama.

Kalau bukan semasa untuk bertemu doktor, habis waktu untuk mengambil ubat di farmasi pula. Jika bernasib baik, paling awal selesai jam 1 atau 2 petang.

Sebelum itu, untuk mendapatkan slot bertemu doktor pakar, bukan seminggu dua perlu menunggu, tetapi makan masa berbulan-bulan bergantung kepada kelapangan doktor pakar berkenaan.

Pernah terjadi, berbulan-bulan kami menunggu untuk menghadiri janji temu yang ditetapkan, tiba waktu kami diminta pulang kerana petugas sedang sibuk menguruskan urusan perpindahan ke bangunan baharu.

Agak kecewa kerana tidak dimaklumkan awal. Untuk ke hospital sahaja bukannya dekat. Semua itu memerlukan perbelanjaan seperti kos petrol dan sebagainya. Bagi yang bekerja pula terpaksa mengambil cuti.

Itu belum dikira soal susahnya untuk mencari parkir di kawasan hospital.

Jadi pihak hospital juga perlu ada empati terhadap pesakit. Janganlah kerana pesakit membayar caj perkhidmatan yang murah, mereka perlu menerima apa sahaja yang 'dihidang' kepada mereka.

Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu KKM menyelesaikan segera isu waktu menunggu terlalu lama di bahagian kecemasan hospital seluruh Selangor seharusnya diberi perhatian serius.

Titah baginda, tempoh masa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan ketika ini telah memberi kesan kepada pesakit yang ingin mendapat rawatan dengan kadar segera.

"Masa menunggu untuk pembedahan serta rawatan lanjut juga ambil masa berbulan-bulan.

"Oleh itu, dipohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan hendaklah diutamakan di samping bilangan doktor dan jururawat pula hendaklah ditambah," titah baginda semasa merasmikan Hospital Tanjong Karang pada Februari lalu.

Ada benarnya titah Sultan Selangor itu bahawa fasiliti kesihatan yang baik akan membolehkan lebih ramai penduduk mendapat perkhidmatan efisien serta rawatan yang lebih efektif pada setiap masa.

Oleh itu, penulis sangat mengharapkan kerajaan memandang serius kesusahan yang dihadapi rakyat dengan melakukan penambahbaikan secara keseluruhan dalam sistem kesihatan negara.

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Web Sinar Harian