PENDAKIAN ke Genting Highlands pada Rabu pastinya mencuri tumpuan memandangkan bakal pemenang Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 itu berpeluang cerah muncul juara keseluruhan edisi ke-27 tahun ini.
Kelibat Euskaltel-Euskadi tentu menggamit perhatian kerana pasukan berstatus ProTeam dari Sepanyol itu mempertaruhkan enam pakar pendaki (climber) bagi memburu kemenangan di laluan digelar queen stage.
Peringkat 5 yang bermula dari Slim River, Perak ke Genting Highlands dengan jarak perlumbaan sejauh 126.4 kilometer (km) itu menyajikan dua zon pecutan - Tanjung Malim dan Gombak.
Ujian lebih getir menanti para pelumba apabila bakal mengharungi dua zon pendakian - Rawang Bypass dan Bentong sebelum tiba di garisan penamat di Genting dengan ketinggian 1,625 meter dari aras laut.
Secara tradisinya dalam sejarah penganjuran perlumbaan berstatus ProSeries itu, pemenang yang mampu menawan puncak Genting Highlands bakal ditabalkan selaku juara keseluruhan LTdL.
Selepas empat peringkat LTdL 2023, pemegang Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan berpindah tangan dalam kalangan pelumba sebanyak tiga kali.
Pakar pecut Tudor Cycling Team, Arvid De Kleijn unggul apabila menyarung Jersi Hijau dalam dua peringkat awal, sebelum pelumba Green Project Bardiani-CSF Faizane, Enrico Zanoncello merampasnya pada Peringkat 3.
Terbaharu, jaguh pecut Bolton Equities Black Spoke, George Jackson yang menjuarai Peringkat 3 pada Isnin, berjaya memiliki Jersi Hijau itu dengan catatan masa keseluruhan 16 jam 01 minit dan 04 saat (s).
Namun, jurang masa dimiliki Jackson dengan pencabar lain tidak jauh apabila hanya dibezakan 0.06s berbanding Zanoncello, diikuti pelumba EF Education Easy-Post, Simon Carr (0.10s).
Bagi pasukan kebangsaan Malaysia, mereka tampak lebih realistik selepas menyedari beberapa pelumba elit khususnya jaguh pendakian mampu menguasai perlumbaan penuh mencabar itu.
Ketua jurulatih, Mohd Yusoff Nasir berkata, latihan di laluan Genting Highlands sebelum ini menjadi azimat terbaik buat anak-anak buahnya memberikan cabaran kompetitif kepada lawan.
"Kita sudah berlatih beberapa bulan lalu dan kita akan tetap berikan tentangan sengit kepada pelumba-pelumba luar terutamanya Amerika Selatan dan Eropah.
"Genting ini istimewa diibaratkan Tour de France yang melalui Pergunungan Alps. Tumpuan sudah tentu di Genting, jadi kita akan cuba untuk melakukan sesuatu bagi mengharumkan nama Malaysia,” katanya.