Bekas CEO didakwa salah guna kuasa lantik anak

Iklan
Amir (tengah) ketika diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen pada Rabu.

MELAKA - Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah anak syarikat kerajaan negeri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa dengan melantik anaknya bekerja di agensi berlokasi di Jasin.

Tertuduh, Amir Ali, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elasabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai Pegawai Badan Awam iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hub telah menggunakan jawatan melantik anak perempuannya sebagai Pegawai Kewangan W41 di syarikat tersebut.

Tindakan itu dilakukan di Syarikat Melaka Halal Hub Sdn Bhd, Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam di Jasin pada 1 April 2021 lalu.

Iklan

Tertuduh yang sekarang menjawat jawatan sebagai pegawai kebudayaan di sebuah universiti tempatan di sini, didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan antara RM7,000 hingga RM15,000 selain syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan tertuduh menyara sembilan orang anak dan isteri menghidap penyakit kencing manis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Hakim Elasabet juga menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.