Baiki segera kerosakan rumah kelahiran P Ramlee

Iklan
Rais menunjukkan kerosakan pada siling rumah kelahiran P Ramlee. - Foto FB Rais Yatim

GEORGETOWN - Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang menggesa agensi bertanggungjawab segera melakukan kerja-kerja baik pulih kerosakan yang berlaku pada rumah kelahiran seniman agung itu yang terletak di Jalan P Ramlee di sini.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, tindakan segera perlu dilakukan supaya rumah berusia hampir 100 tahun itu akan terus terpelihara dan menjadi warisan sejarah negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerosakan atap dan siling rumah berkenaan dikatakan berlaku sejak tahun lalu namun ia gagal diselesaikan oleh agensi berkenaan.

"Tak kan perkara kecil sebegini tak boleh ditangani oleh agensi berkenaan dan saya percaya kos baik pulih pun tidak melibatkan belanja yang terlalu mahal.

Iklan

"Saya akan berhubung dengan agensi terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan kita mahu kerja-kerja baik pulih segera dibuat bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk pada rumah warisan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Rabu.

Terdahulu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menzahirkan rasa kecewa selepas melihat keadaan rumah kelahiran P Ramlee yang rosak dan keadaan yang menyedihkan.

Iklan

Dalam tulisannya di laman Facebook, beliau terkejut selepas mendapati atap dan siling rumah asal seniman agung itu hampir roboh akibat kebocoran yang berlarutan.

"Keadaannya amat menyedihkan. Apatah lagi ini rumah P Ramlee seniman idola kita. Menurut penjaga rumah molek warisan itu laporan dah dibuat dan dikemukakan tahun lalu.

"Tentu sekali roh Ramlee akan nangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar. Saya taksir kerosakan ketirisan ini tak lebih RM15,000...Wahai ketua jabatan, mailah tengok, baikilah cepat," tulisnya.

Rumah kelahiran P Ramlee yang terletak di No 4 Jalan P Ramlee dibina pada 1926 oleh bapanya, Teuku Nyak Puteh dan bapa saudaranya, Rejab Husin.

Difahamkan, rumah berkenaan telah beberapa kali dibaik pulih sebelum ini dan kini diambil alih sepenuhnya oleh Arkib Negara.

Sinar Harian sedang mendapatkan Arkib Negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai kerosakan yang berlaku.