PELAKON dan penyanyi, Elly Mazlein memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan cara pengacaraannya menerusi program All Stars Gegar Vaganza (GV10),
Menerusi menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya, Ely atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina memaklumkan dia meletakkan semua kesalahan pada dirinya sendiri.
Dalam hantaran yang sama, Elly berkata, dia tidak berniat untuk melukakan hati sesiapa sebaliknya hanya melakukan kerja secara ikhlas dengan niat untuk mengiburkan orang ramai.
"Niat Kak Lina untuk menghiburkan, tapi lain pula jadinya. Buat semua orang yang tak berminat nak tengok GV pula.
"Sekali lagi Kak Lina meletakkan kesalahan pada diri sendiri,” maklumnya.
Bagaimanapun, kata Elly, sekiranya kehadirannya kurang menyenangkan dia mengundurkan diri sebagai karakter ‘Kak Lina’ dan menggantikannya dengan ‘Elly Mazlein.’
"Ya ramai yang mencari rezeki di GV. Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tak akan muncul lagi di GV. Minta maaf segala kekhilafan ya.
"Kak Lina tak bermaksud apa, memang nak menghiburkan. Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa yg kak lina rasa sebelum ini.
"Terima kasih banyak-banyak. Insya-Allah Elly Mazlein akan mengantikan Kak Lina di GV nanti. Jadi I'll sign off, jaga diri semua,” jelasnya.
Terdahulu, ada segelintir netizen meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap gabungan tiga pengacara iaitu Nabil, Jihan dan Elly dalam satu pentas.
All Stars Gegar Vaganza menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Datuk Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
Enam lagi nama yang dipilih adalah menerusi hot seat iaitu Tomok, Suki Low, Nikki Palikat, Ezad Lazim, Zamani dan Liza Hanim.
All Stars Gegar Vaganza dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.
Manakala juri tetap pula adalah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
All Stars Gegar Vaganza bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).