NABAWAN - Kira-kira 11 tan bekalan makanan dihantar melalui pengangkutan udara untuk disalurkan kepada penduduk di lapan perkampungan di sekitar Pensiangan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh dan banjir sejak 5 September lalu.
Penghantaran bekalan makanan itu dilakukan menggunakan dua jenis helikopter jenis Mi-171 dimiliki Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan AW 139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Nabawan dan badan bukan kerajaan daripada Forces of Love (FOL).
Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda berkata, misi kemanusian untuk Pensiangan dilakukan dengan sebanyak lima kali penghantaran di kawasan yang terjejas.
"Seperti yang kita maklum, jalan darat ke kawasan kampung yang terlibat sudah terputus dan penduduk sudah beberapa minggu mungkin terperangkap dan kali ini dengan kerjasama semua agensi kami berjaya mengkordinasikan untuk menghantar dua helikopter.
"Kita akan bermula dari Nabawan ke Pensiangan untuk dua kali penghantaran dan juga ke Kampung Sibanggali dan Kampung Saliku dengan melibatkan 8.6 tan barang makanan serta dan 2.45 tan daripada pihak NGO.
"Penghantaran ini dilakukan dengan menggunakan dua helikopter milik JBPM dan satu lagi milik PDRM dari Kota Kinabalu yang akan meliputi kawasan Kampung Salinatan dan Kampung Saliliran," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Nabawan pada Rabu.
Tambah beliau lagi, secara keseluruhannya misi kemanusiaan ini dikendalikan dengan kerjasama JBPM, PDRM dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, kira-kira 500 penduduk terjejas akibat kejadian itu dan turut melibatkan Kampung Kabu, Kampung Siatu, Kampung Simohong, Kampung Karampalon, Kampung Babayasing dan Kampung Doboon.
Seramai 33 orang pegawai dan anggota JBPM terlibat dalam misi kemanusiaan ini dan diketuai oleh Abdul Razak sendiri.
Hadir sama Ketua Zon Bomba Keningau, Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan; Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin dan Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Atar Andipoh.