KLANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) akan melaksanakan kutipan sampah di kampung bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) secara pintu ke pintu atau lot ke lot bermula 1 Oktober depan.
Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, penduduk diminta memberi kerjasama dengan menyediakan tong sampah dan meletakkannya di hadapan premis masing-masing.
Menurut beliau, penyediaan tong sampah itu adalah diwajibkan kepada semua premis dan dasar itu telah termaktub di dalam perkara 6 Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPK 2007.
"Dengan penyediaan tong sampah ini memudahkan pihak KDEB membuat kutipan sampah di premis mengikut jadual yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perutusan mesyuarat bulan September di Bilik Mesyuarat Raja Mahadi MPK di sini pada Rabu.
Noraini berkata, taklimat berkaitan kutipan dan penyediaan tong sampah di kawasan kampung telah disampaikan penghulu dan ketua-ketua kampung pada 23 September lalu di Dewan Hamzah.
Dalam ucapan sama, Noraini memberitahu, MPK dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Klang telah mengadakan program gotong royong mega 2.0 perangi aedes di Jalan Perigi Nenas 8/3 - 8/6, Pulau Indah pada Ahad lalu.
Jelas beliau, program disertai 500 penduduk itu diadakan untuk menghentikan penularan kes demam denggi berikutan terdapat sebanyak 44 kes dilaporkan di kawasan terbabit.
"Program ini juga dapat memberi kesedaran kepada penduduk dan penghuni asrama di kawasan sekitar dalam menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan potensi tempat pembiakan nyamuk," jelas beliau.