PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan desas-desus mengatakan bekas bintang sensasi bola sepak Jepun, Keisuke Honda akan mengemudi skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Honda tidak berada dalam perancangan badan induk bola sepak negara itu.
"Tiada. Bukan dia (yang akan mengendalikan skuad Harimau Muda)," katanya selepas Majlis Pelancaran Karnival Uniti Pestabola Merdeka di Lobi Bangunan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada Rabu.
Sebelum ini, Honda memuat naik di laman Instagramnya sudah sampai di Malaysia dan teruja untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
Ia sekali gus menimbulkan andaian dalam kalangan peminat bola sepak negara kemungkinan Honda juga tersenarai antara calon untuk mengemudi skuad muda negara.
Honda juga pernah mengendalikan skuad kebangsaan Kemboja dan melepaskan jawatannya itu selepas keputusan mengecewakan di Sukan SEA lalu.
Dalam pada itu, Noor Azman juga enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai calon pengendali skuad B-23 negara selain meminta peminat menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan nanti.
Beliau turut mengakui pengendali Harimau Muda yang baharu nanti perlu mengemudi pasukan selari dengan corak permainan skuad senior negara.
"Kita tunggu pengendali baharu yang akan diumumkan nanti. Kena sama (corak permainan dengan pasukan senior negara)," katanya.