KEMENTERIAN Kewangan (MOF) akan memberikan lebih tumpuan kepada sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2024 untuk memperkasa sektor itu supaya dapat bersaing dalam ekonomi baharu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini, akan bersandarkan pada kerangka Madani dengan memberi fokus kepada nilai pembangunan serta pekerjaan dalam sektor PMKS.
Iklan
Iklan
"Hal ini adalah kerana PMKS merupakan antara pemacu utama ekonomi dengan kadar pertumbuhan dan peluang pekerjaan selain sektor tersebut paling terkesan terutama pada masa pandemik Covid-19.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tayangan Dokumentari dan Pengumuman Penerima Manfaat Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Steven berkata, proses merancang belanjawan kali ini menerima sambutan paling ramai dengan membabitkan sebanyak 8,000 maklum balas secara bersemuka dan 11,000 menerusi portal kementerian.
"Apa yang kita mahu adalah Belanjawan 2024 ini boleh mencerminkan aspirasi semua lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira kaum, agama, jantina dan negeri, di mana kita jelajah semua negeri untuk mendapat pandangan daripada semua pihak,” katanya. - Bernama