Polis bongkar along Semenanjung guna geng di Sibu tagih hutang

Iklan
Polis Sarawak berjaya membongkar kegiatan along dari Semenanjung yang mengupah kumpulan tempatan yang menggunakan kekerasan untuk memungut hutang di Sibu. - Gambar hiasan

SIBU - Polis Sarawak berjaya membongkar kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dari Semenanjung Malaysia yang mengupah kumpulan tempatan di sini yang menggunakan kekerasan untuk memungut hutang di bandar ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, modus operandi pemberi pinjaman itu terbongkar berikutan penangkapan empat lelaki yang dipercayai anggota Geng Rosli yang menagih hutang dengan cara mengugut peminjam yang gagal membayar hutang mereka.

Iklan
Iklan

Dalam sidang media di sini pada Rabu, beliau berkata, tiga daripada suspek yang berusia di antara 20 dan 40 tahun ditangkap pada 22 September di Jalan Lada di sini, sementara suspek keempat berusia 31 tahun diberkas pada 24 September di jalan yang sama.

"Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mengaku bekerja sebagai pemungut hutang tanpa lesen dengan upah RM300 bagi setiap satu tugas dengan menghantar nota ugutan dan menyimbah cat ke alamat peminjam yang gagal menjelaskan hutang pemberi pinjaman yang mengupah suspek-suspek ini,” katanya.

Iklan

Mohd Azman berkata, dengan tertangkapnya keempat-empat suspek ini, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes ugutan jenayah dan khianat di sekitar daerah ini.

"Dua kes melibatkan jenayah komersial disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 dan tujuh kes melibatkan ugutan jenayah dan khianat disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” tambahnya. - Bernama

Iklan