PUTRAJAYA - Mulai 1 Oktober, segmen khas ‘Biar Betul!’ akan ke udara di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai usaha menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, segmen yang berdurasi kurang daripada seminit itu akan disiarkan setiap hari selepas slot Berita KANTA 744 di TV1 (7.44 malam) dan saluran Berita RTM serta diulang siar menerusi semua platform media sosial RTM termasuk Radio RTM.
Iklan
Iklan
Memetik sebuah video tular baru-baru ini mengenai caj klinik kesihatan yang didakwa dinaikkan antara RM10 hingga RM15, Fahmi berkata, video berkenaan telah mencecah 2.8 juta tontonan dan ia menunjukkan fitnah yang tersebar itu mampu meracuni fikiran rakyat dengan begitu pantas.
"Jadi selain daripada ikhtiar ‘Biar Betul!’, saya bersama Timbalan (Teo Nie Ching) dan Ketua Setiausaha, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, ada beberapa perancangan termasuk meneruskan perbincangan kami dengan pihak penyedia perkhidmatan seperti Meta, TikTok dan Telegram untuk pastikan kerjasama yang diberikan erat dengan pihak berkuasa lain seperti polis.
"Ini antara usaha untuk pastikan bahan-bahan bersifat fitnah dan tidak betul dikekang daripada tular,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan jika menerima sebarang maklumat meragukan menerusi portal https://aduan.mcmc.gov.my/, talian 1800-188-030 atau WhatsApp ke 016-2206262. - Bernama