KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan 11 Oktober depan untuk keputusan permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak mualaf, ibu tunggal, Loh Siew Hong.
Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam-peguam yang mewakili MAIPs, Siew Hong dan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy.
Semasa hujahan, MAIPs memohon kepada mahkamah supaya dapat membimbing tiga anak ini berhubung pendidikan agama Islam.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIPs berkata, tidak timbul isu untuk meminda keputusan hak jagaan tiga anak beragama Islam itu kepada Siew Hong sebaliknya ia hanya menyentuh bimbingan agama dan nafkah.
Ketika hujahan, Mohamed Haniff berkata, majlis itu mempunyai tanggungjawab statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 untuk memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut dipelihara.
Menurutnya, tanggungjawab itu termasuk dari segi bantuan yang boleh disalurkan melalui penjaga tiga kanak-kanak terdiri daripada pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki, 12 tahun.
"Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran tidak mampu mendidik anak mereka mengenai asas pendidikan agama Islam dengan baik.
"Siew Hong selaku pempetisyen tidak mampu untuk mendidik dan memberi ajaran asas pendidikan Islam kerana dia mengamalkan agama Hindu dan Buddha,” katanya.
Bapa kanak-kanak itu pula katanya, telah dipenjarakan, malah dia tidak mempunyai akses kepada anak-anak ini.
Susulan itu, Mohamed Haniff berkata, MAIPs memohon kepada mahkamah supaya memberinya peluang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada anak-anak tersebut.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana selagi kanak-kanak berkenaan bergelar Muslim, menjadi tanggungjawab MAIPs untuk membantu mereka mempelajari agama Islam.
Selain itu beliau berkata, ibu tunggal berkenaan pula akan dibantu untuk mempelajari isu halal dan haram terutama membabitkan penyediaan makanan terhadap anak-anaknya.
Sementara itu, peguam J Gunamalar yang mewakili Siew Hong berhujah, perintah hak jagaan yang diperolehi oleh anak guamnya wajar dikekalkan sementara rayuan berhubung penukaran agama ketiga-tiga kanak itu didengar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Sementara itu, semasa prosiding pada pagi Rabu, Hayatul Akmal berkata, mahkamah akan menemu bual tiga kanak-kanak itu selepas waktu persekolahan jam 2.30 petang.
Menurutnya, lebih elok baginya untuk berbual dengan mereka lebih-lebih lagi, hujahan kes berkenaan adalah mengenai kehidupan kanak-kanak berkenaan.
"Saya telah berbual mereka secara berasingan, iaitu dengan anak sulung daripada kembar itu selama 30 minit, manakala masing-masing 15 minit bagi dua lagi kanak-kanak lain,” katanya.
Sebelum ini, dalam petisyen cerai, Siew Hong telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas anak-anaknya pada Februari tahun lalu.
Wanita berusia 35 tahun ini mendapat hak penjagaan selepas bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran melarikan dan menukar agama tiga anak, tanpa kebenaran Siew Hong selaku ibu kanak-kanak itu.
Pada 21 Februari tahun lalu, tiga beradik berkenaan diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudian diserahkan kepada Siew Hong apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.
MAIPs memfailkan permohonan untuk campur tangan pada 7 Mac tahun lalu bagi membolehkan pihak berkuasa agama mempunyai locus standi untuk memohon mengubah syarat perintah tahanan yang diberikan kepada Wanita tersebut.
Majlis ini memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.
Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.