Daripada sebuah idea yang kecil yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Husin, kini Felda telah menjadi sebuah organisasi besar dengan pembukaan lebih banyak kawasan dan lebih berjuta rakyat mendapat manfaat daripadanya.
Oleh itu, rata-rata peneroka tanah rancangan Felda meluahkan rasa syukur kerana dapat menikmati kehidupan yang selesa pada hari ini hasil perjuangan pemimpin negara terdahulu.
Walau bagaimanapun, warga FELDA terus menjadi keutamaan Kerajaan termasuklah dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12) yang menggariskan pelbagai projek yang memberi manfaat secara terus kepada masyarakat peneroka.
Antara yang utama, pemberian dana oleh kerajaan sebanyak RM200 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara jalan pertanian di rancangan FELDA seluruh negara. Di FELDA Sungai Kemahal misalnya, dana RM364,386.25 diperuntukkan bagi membaik pulih jalan pertanian sepanjang empat kilometer (km) daripada jumlah panjang keseluruhan jalan sepanjang 26.83 km.
Projek tersebut bermula pada Januari 2023 dan siap sepenuhnya pada Mac 2023.
Menurut Pengurus Rancangan Felda Sungai Kemahal, Muhamad Fazeli Ibrahim, aktiviti pertanian kini lebih mudah, teratur dan lancar.
Katanya, buah sawit dapat dikeluarkan secara maksimum mengikut masa yang telah ditetapkan manakala kerja kerja operasi ladang yang berkaitan juga dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Jalan pertanian yang elok dapat memastikan semua operasi ladang dilaksanakan dengan berkesan, misalnya operasi penghantaran BTS ke kilang dalam tempoh 24 jam bagi mengelakkan terjadinya 'backlog', penghantaran baja ke ladang dengan sempurna, serta kerja-kerja merumput dapat berjalan dengan lancar.
"Kos pengangkutan juga dapat dijimatkan kerana tiada masalah lori sangkut dan tak perlu sewa jentera lain untuk bantu pengeluaran buah sawit ke kilang," ujarnya.
Beliau memberitahu, warga Felda turut terlibat dalam proses baiki jalan ini.
"Ada juga antara kami terlibat, mereka menggunakan jentera seperti 'backhoe'.
"Kerja mengangkut batu kaseran ke ladang pula dilakukan oleh kontraktor generasi Felda Sungai Kemahal. Ketika jalan sedang dibina, semua lori dapat bertolak ansur dan memahami proses pembinaan jalan pertanian,"jelasnya.
Sementara itu, seorang peneroka Kamarudin Ismail turut berterima kasih kepada Kerajaan dan FELDA yang telah menaik taraf jalan pertanian di ladang FELDA Sungai Kemahal.
Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Sungai Kemahal berkata, jalan pertanian yang telah dinaik taraf dapat meningkatkan pengeluaran hasil sekali gus meningkatkan pendapatan beliau serta peneroka FELDA yang lain.
"Terima kasih kepada FELDA kerana dah naik taraf jalan di ladang kita ini. Alhamdulillah hasil dapat dikeluarkan dengan lebih baik," jelasnya.
Bagi generasi baharu Felda Sungai Kemahal, Zainul Ariffin Ahsan, beliau turut bersyukur kerana jalan pertanian di rancangan tersebut telah dinaik taraf oleh kerajaan.
Menurutnya, lori-lori kini boleh masuk dengan lebih mudah dan selamat untuk mengeluarkan hasil ladang peneroka.
Beliau yang juga mempunyai minat mendalam dalam kerja-kerja ladang turut menguruskan beberapa orang buruh bagi menjalankan kerja tuaian di lot-lot peneroka. Dengan jalan pertanian yang lebih baik kini, kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas.
"Kalau dahulu ketika musim hujan susah nak hantar hasil keluar ke kilang kerana keadaan jalan berlubang dan tidak elok namun sekarang alhamdulillah telah dibaiki.
"Oleh itu, bagi kawan-kawan yang berniat untuk masuk kerja ladang ini, waktu kini semuanya lebih mudah kerana FELDA dan kerajaan telah bantu macam-macam untuk memudahkan tetapi saya nasihatkan mereka, hati perlu kental,"ujarnya.